comscore
Tumpuan :
Nasional

BN sedia pertimbang permohonan Parti Punjabi Malaysia

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) bersedia mempertimbangkan permohonan Parti Punjabi Malaysia (PPM) untuk menganggotai gabungan itu, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ia jelasnya bagi memperkukuhkan kedudukan BN, selain mempersiapkan gabungan itu untuk berdepan sebarang kemungkinan pada masa hadapan.

Bagaimanapun, parti teras dalam gabungan itu ujarnya perlu bersetuju meminda perlembagaan terlebih dahulu, sebelum keputusan mengenainya dimuktamadkan.

“Yakinlah,keberadaan kita dalam kalangan Friends of BN dan kaedah saya mengendalikan BN adalah dengan semangat ‘brotherhood’ (persaudaraan) kerana kita rasa semua parti mahu menyumbang untuk mewujudkan Malaysia yang stabil.

“Saya yakin suatu hari nanti kalau dipersetujui parti teras untuk meminda perlembagaan BN supaya Friends of BN boleh diterima sebagai parti komponen, sekali gus memperkukuhkan BN.

“Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan ada di sini dan saya yakin beliau akan hubungi Presidennya untuk menyatakan hal ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Vaisakhi di sini, malam tadi.

Hadir sama, Presiden Persatuan Punjabi Malaysia, Datuk Gurjeet Singh Rhande.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut mempelawa Gurjeet untuk membuat penampilan pada pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Saya tak pasti Gurjeet berminat untuk menjadi calon atau tidak pada PRN ini. Namun, beliau perlu kenal pasti kawasan (yang mahu ditandingi) jika berminat (untuk mewakili BN).

“Saya juga berharap untuk melihat tokoh daripada PPM yang menganggotai Kabinet suatu hari nanti. Ini harapan saya,” katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Loading...
Terkini