comscore
Tumpuan :
Nasional

Raja Mohamed Affandi ucap terima kasih kepada 27,778 pengundi yang menyokongnya

Calon BN Parlimen Kemaman, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor. – Foto: NSTP

CHUKAI: Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menzahirkan penghargaan kepada 27,778 pengundi yang memberikan sokongan kepadanya selaku calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu turut mengucapkan tahniah kepada juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selaku calon PAS kerana berjaya mengekalkan penguasaan parti itu di kerusi Parlimen berkenaan.

“Terima kasih juga kepada seluruh jentera UMNO, BN dan parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat bahagian, negeri dan seluruh negara yang bertungkus-lumus membantu berkempen untuk saya.

“Sesungguhnya, kita hanyalah berusaha dan selebihnya saya berserah kepada Allah SWT,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Terdahulu, Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab mengumumkan Ahmad Samsuri memenangi Parlimen Kemaman, sekali gus mempertahankan kerusi dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Ahmad Samsuri memenangi PRK itu dengan majoriti undi lebih tinggi iaitu 37,220 undi.

Ia melebihi 10,041 undi berbanding penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid yang memperoleh majoriti sebanyak 27,179 undi.

Dalam PRK semalam, Ahmad Samsuri mendapat 64,998 undi, manakala Raja Mohamed Affandi mendapat 27,778 undi.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini