comscore
Tumpuan :
Politik

Boleh letak gambar pemimpin parti bersekutu pada bahan kempen – SPR

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Gambar pemimpin parti politik pada bahan kempen termasuk gambar pemimpin parti politik komponen yang berdaftar atau tidak berdaftar secara rasmi, namun menyokong mahupun bersekutu dengan calon parti politik bertanding boleh digabung atau diletakkan secara berasingan.

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada bahagian pilihan raya calon atau parti politik tersebut bertanding.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata pemimpin yang dimaksudkan adalah individu yang mempunyai apa-apa jawatan di mana-mana peringkat di dalam parti atau parti gabungan ataupun komponen yang berdaftar secara rasmi atau tidak berdaftar secara rasmi.

“Semua kaedah dan bahan kempen dibenarkan selagi mana ia tidak mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau permusuhan atau menimbulkan provokasi serta tidak melanggar peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lambang, simbol dan bendera parti politik calon yang bertanding termasuk daripada parti politik komponen yang berdaftar mahupun tidak berdaftar secara rasmi namun menyokong atau bersekutu, dibenarkan untuk dipamerkan secara bersama atau berasingan.

Ia tertakluk kepada pengisytiharan dibuat Pegawai Pengurus pada hari penamaan calon.

Jelasnya, tiada had ditetapkan kepada gambar bagi parti politik yang bertanding dan gambar pemimpin parti politik komponen, gabungan dan pakatan pada bahan kempen.

“Calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, adalah juga tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang atau simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan atau komponen secara bersama atau berasingan yang diwakilinya,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap aktiviti berkempen berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan ditetapkan.

Terdahulu, dalam sidang media mengenai urusan penamaan calon pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri dan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, Abdul Ghani berkata kesemua 246 kerusi dipertandingkan.

Sebanyak 573 kertas penamaan dikemukakan oleh pelbagai parti dan individu pada hari penamaan calon hari ini dengan satu kertas penamaan calon ditolak di N.09 Kota Lama, Kelantan membabitkan calon bebas.

Loading...
Terkini