comscore
Tumpuan :
Politik

Cadangan lantik saya jadi MB tak berubah sampai sekarang – Aminuddin

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (kanan) bersama Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias semalam. – Foto: NSTP/Aizuddin Saad.

SEREMBAN: Majlis istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan akan diadakan jam 3 petang di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah esok.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika mengesahkan perkara itu berkata nama individu yang akan dilantik ke jawatan itu juga akan dimaklumkan esok.

Bagaimanapun Aminuddin berkata, di peringkat Pakatan Harapan (PH), mereka sebulat suara dengan keputusan dibuat sebelum ini untuk mencadangkan dirinya menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Di peringkat PH, kita masih sebulat suara mencadangkan saya untuk menjadi Menteri Besar dan saya rasa itu tidak berubah sampai sekarang,” katanya pada sidang media di kediaman Menteri Besar di sini hari ini.

Dalam pilihan raya negeri (PRN) semalam, gabungan PH dan BN memperoleh 31 daripada 36 kerusi dewan undangan negeri (DUN).

Mengulas peratusan mengundi di Negeri Sembilan yang tidak sampai 70 peratus, Aminuddin berkata, pihaknya turut terperanjat apabila ramai pengundi tidak keluar mengundi semalam.

“Sedangkan saya lihat maklum balas mereka yang balik dari luar itu amat baik pada malam sebelumnya. Tetapi semalam cukup tenang, saya pun hairan apa yang berlaku di pusat-pusat pengundian.”

“Sehinggakan di kawasan-kawasan perumahan juga kita lihat tak banyak pergerakan daripada penduduk. Kita tak tahu apa punca tidak keluar mengundi,” katanya.

Beliau berpandangan, berkemungkinan faktor peratusan orang ramai keluar mengundi ini rendah adalah disebabkan pilihan raya umum (PRU) ke-15 yang baharu berlangsung.

“Mungkin mereka telah mengundi pada pilihan raya lepas. Pengajaran daripada ini, kita mesti pastikan bahawa selepas ini PRU dan PRN boleh disekalikan bagi memberikan kemudahan kepada rakyat,” katanya.

Loading...
Terkini