comscore
Tumpuan :
Politik

Hubungan parti dalam Kerajaan Perpaduan tak retak, kekal mantap dan kukuh – PM

SHAH ALAM: Hubungan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan kini adalah sangat kukuh dan mantap, dengan masing-masing sentiasa mengukuhkan hubungan tersebut, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Presiden PKR berkata dalam berdepan beberapa isu berbangkit, semua jemaah Kabinet tiada masalah persefahaman dalam membincangkannya, namun beliau akui terdapat isu yang terpaksa dirundingkan di luar Kabinet.

“Yang di luar (Kabinet) suara-suara yang tidak semestinya mewakili suara kepimpinan, saya harus akui ada sedikit sebanyak hal yang dirungkai di luar jemaah menteri, tetapi setakat ini belum ada petanda keretakan kecil sekalipun, antara PH (Pakatan Harapan), UMNO-BN (Barisan Nasional), Sabah dan Sarawak.

“Yang ada hanya gerombolan-gerombolan desperados yang cuba adu domba dan saya beri tahu mereka good luck and goodbye, it will not works.

“Bagi saya kerajaan ketika ini masih mantap dan kukuh,” katanya dalam ucapan pada Konvensyen 25 Tahun PKR, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian menjawab serangan serta kritikan sesetengah pihak, berhubung beberapa isu berbangkit termasuk afidavit Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagi menyokong permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Anwar berkata Kerajaan Perpaduan juga dituduh tidak melakukan sebarang perubahan atau reformasi apabila mentadbir negara, namun Perdana Menteri menegaskan kerajaan amat komited melaksanakan perubahan dan ia dilakukan mengikut kemampuan serta kebijaksanaan.

Beliau berkata dalam tempoh setahun Kerajaan Perpaduan mentadbir, kerajaan tidak berkompromi dalam soal kebebasan badan kehakiman negara dan kekuatan badan penguat kuasa untuk bertindak dengan tegas tanpa ada campur tangan politik.

“Sekarang ini, badan kehakiman kita dikenali sebagai badan yang bebas… belum ada satu kes (mahkamah) di mana saya panggil ketua hakim (Tun Tengku Maimun Tuan Mat) atau berunding (campur tangan) untuk menyelesaikannya.

“Kebijaksanaan kita (diperlukan) untuk mengekalkan dan bukannya untuk merobohkan kerajaan yang ada…perubahan kita akan lakukan tapi kepesatan dan kelajuan mengikut kemampuan serta kebijaksanaan, jangan kerana nak meneruskan agenda yang disenangi (oleh sesetengah pihak) hingga merobohkan kerajaan ini,” katanya.

Anwar berkata ada pihak yang menuduh kononnya Kerajaan Pepaduan hanya berdiam diri sehingga rakyat ‘menderita’, sebaliknya kata beliau golongan yang ‘menderita’ hanya individu berpangkat yang menyakau duit rakyat.

Beliau berkata satu langkah atau gagasan terbaik untuk dilakukan ialah menghentikan amalan menggunakan kuasa, merompak dan menyakau harta negara ini.

“Semua jemaah menteri dan kepimpinan (setiap parti) tahu, sama ada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor termasuk PH, semua faham dan setuju andai kata ada dalam kalangan kita melanggar prinsip tatakelola dan terjerumus dalam amalan rasuah, mereka secara sendiri akan terkeluar dan hadapi perundangan,” katanya.

Konvensyen khas yang dihadiri lebih 5,000 perwakilan termasuk secara dalam talian bagi wakil Sabah dan Sarawak itu, diadakan sempena sambutan Jubli Perak penubuhan PKR, yang mencapai usia 25 tahun pada 4 April.

Selepas konvensyen khas itu, kemuncak sambutan Jubli Perak penubuhan PKR akan diadakan pada 11 Mei ini, pada program Malam Sambutan 25 Tahun Keadilan di Sentul Depot, Kuala Lumpur.

Sambutan itu, dijadual berlangsung sepanjang hari dengan acara kemuncaknya penyampaian Amanat Presiden PKR yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini