comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Janji itu hutang yang perlu ditunaikan’ -Zahid 

BETONG: Menjadi satu kesalahan bagi individu atau parti politik yang telah berjanji untuk melaksanakan pelbagai pembangunan bagi manfaat rakyat namun tidak dapat melaksanakannya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, setiap janji yang dilafazkan itu sama ada menerusi manifesto ketika pilihan raya atau pada pengucapan umum merupakan hutang yang perlu ditunaikan.

Menurut beliau, adalah mudah bagi setiap ahli politik untuk menabur bermacam-macam janji untuk meraih sokongan atau undi yang membolehkan mereka dilantik sebagai wakil rakyat di kawasan terlibat.

“Ia tidak semudah itu, kerana komitmen, janji itu adalah hutang dan ia perlu dibayar dengan tunai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Enteri Lengkoi di sini, hari ini.

Namun untuk menunaikan janji terbabit ia memerlukan keserasian antara parti yang diwakilinya oleh ahli politik terbabit dengan kerajaan yang memerintah ketika itu.

Katanya, apabila terdapat keserasian dan kesefahaman, permasalahan atau janji  yang telah diberikan sebelum ini akan dapat ditunaikan dengan sempurna dan lancar tanpa sebarang halangan.

“Wujudkan satu pertubuhan yang kukuh, ini penting kerana siapa pun yang menjadi kerajaan mereka perlu lebih ke arah pertubuhan mampan ini.

” Jika komuniti itu anti kepada pertubuhan ini, ia akan mengundang padah kepada anak-anak buah mereka.

“Inilah yang harus dipegang, inilah yang harus kita jadikan sebagai azimat kerana yang penting bukan melayani perbedaan-perbedaan di kalangan kita yang akhirnya akan berlaku titik perbedaan,” katanya.

Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM2.25 juta untuk membaikpulih rumah panjang berkenaan.

Selain peruntukan berkenaan, peruntukan berjumlah 7.2 juta ringgit diluluskan bagi membina sistem bekalan air luar bandar di kawasan Ulu Grenjang, Saratok dan RM2.4 juta lagi bagi penyambungan Sistem Rektikulasi bekalan air luar bandar ke Rumah Panjang Ganing di Krian, Saratok.

Turut diluluskan peruntukan berjumlah RM200 ribu bagi pembinaan tangki aras tinggi dan pembinaan paip di kawasan Betong.

Loading...
Terkini