comscore
Tumpuan :
Politik

Kekalahan Sungai Bakap jadi pengajaran kepada BN – Ahmad Maslan

Ahmad pada sidang media selepas meninjau Klinik Kesihatan Kota Putera. – FOTO: NSTP

JERTIH: Kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap semalam, akan dijadikan pengajaran untuk parti itu bangkit mengharungi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos nanti.

Susulan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata BN bersama gabungannya akan menggunakan segala pengalaman pada PRK yang dimenangi BN selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum ini untuk memastikan kemenangan pada PRK DUN Nenggiri.

Beliau berkata, langkah itu perlu dalam usaha pihaknya memastikan kekalahan pada PRK Sungai Bakap tidak berulang pada PRK DUN Nenggiri nanti.

“Kita akan belajar daripada (PRK) Sungai Bakap apa yang berlaku untuk kita berusaha mencari kemenangan di Nenggiri dan kita berharap rakyat di Nenggiri bagi peluang kepada UMNO.

“Jadi isu yang menyebabkan kekalahan di Sungai Bakap akan kita jadikan pengajaran untuk berhadapan dengan PRK Nenggiri.

“Kami sebagai pasukan barisan hadapan tidak akan kecewa dengan apa berlaku, sebaliknya kerja perlu diteruskan (kerana) PRK ada yang menang ada yang kalah,” katanya selepas tinjauan kerja projek seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Besut di tapak projek Klinik Kesihatan Jenis 3, Kampung Raja di sini, hari ini.

Ahmad berkata, pihaknya juga akan mengadakan bedah siasat dalam waktu terdekat bagi mengenal pasti punca gabungan itu tewas pada PRK Sungai Bakap kelmarin.

“Setiap kali kekalahan atau kemenangan pilihan raya, kita akan buat bedah siasat bagi mengetahui puncanya,” katanya.

Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lalu mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh BERSATU pada 13 Jun lalu.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos, manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini