comscore
Tumpuan :
Politik

Muda Bertanding Di Kepala Batas?

| Oleh Selwam Arjunan

GEORGE TOWN : Pakatan Harapan (PH) dipercayai memperuntukkan kerusi Parlimen Kepala Batas di Pulau Pinang kepada Parti Muda dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurut sumber, kepimpinan Muda Pusat memaklumkan perkara berkenaan kepada Muda Pulau Pinang pada hari ini selepas rundingan pengagihan kerusi di antara PH dan Muda.

Bagaimanapun belum ada pengumuman rasmi daripada kedua-dua pihak setakat ini.

“Kami baru menerima berita bahawa Muda akan bertanding di Kepala Batas. Pengesahan akan dilakukan di media sosial rasmi dalam masa terdekat. Calon masih dalam proses pemilihan,” kata sumber.

Beberapa nama termasuk pemimpin Muda tempatan disenaraikan sebagai calon, namun calon dari luar kawasan juga masih dipertimbangkan.

Calon juga dipercayai akan menggunakan logo Muda pada PRU-15 memandangkan parti itu belum menyertai PH secara rasmi.

“Difahamkan senarai calon Muda akan diumumkan bermula malam ini secara berperingkat jika pengagihan kerusi dengan PH telah selesai atau pada hari Sabtu jika ia belum dimuktamadkan,” katanya.

Parlimen Kepala Batas disandang oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dari Barisan Nasional (BN) yang memenangi kerusi itu dengan majoriti 4,736 undi pada PRU-14 dalam pertandingan tiga penjuru berdepan calon PKR dan PAS.

Beliau telah memenangi kerusi berkenaan buat pertama kali dalam PRU-13.

Datuk Seri Reezal yang pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Luar dan Menteri Belia dan Sukan dijangka mempertahankan kerusi Kepala Batas dalam PRU-15.

Loading...
Terkini