comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bapa mengaku salah cederakan anak perempuan guna papan seterika, kerusi, bakul

Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mencederakan anak perempuannya menggunakan objek sehingga menyebabkan kecederaan, bulan lalu. – FOTO: NSTP

KUALA PILAH: Seorang bapa mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan dengan sengaja mencederakan anak perempuannya menggunakan objek, bulan lalu.

Tertuduh yang berusia 47 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norma Ismail selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas anak kandungnya yang berusia 17 tahun dengan menggunakan suatu alat yang digunakan sebagai senjata untuk melakukan kesalahan yang mungkin menyebabkan kematian iaitu satu kerusi plastik, satu bakul pakaian dan satu papan seterika.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 11.45 malam di sebuah rumah di Kampung Kendong Baru, Rembau, 23 Januari lalu.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau dengan denda atau dengan sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan tarikh 5 Mac depan bagi sebutan hukuman.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qaiyyum Ramlan.

Terdahulu, di Mahkamah Sesyen Seremban, tertuduh sama berdepan pertuduhan merogol anak kandungnya yang berusia 16 ketika kejadian pada November tahun lalu, namun mengaku tidak bersalah.

Kesalahan itu dilakukan pada 12 November 2023, pada waktu petang, di sebuah rumah di Kampung Kendong Baru Kota, Rembau.

Sebelum ini, tular satu video memaparkan seorang lelaki yang dalam keadaan mabuk membelasah remaja perempuan di sebuah rumah dan menyebabkan remaja itu mendapat 12 jahitan di kepala.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini