comscore
Tumpuan :
Politik

Negeri Sembilan jadi model kuatkan kerjasama PH, BN jika menang

Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin

SEREMBAN: Negeri Sembilan akan menjadi negeri model untuk menguatkan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di peringkat Kerajaan Perpaduan sekiranya kerjasama itu berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli berkata, negeri itu dilihat berpotensi untuk dijadikan medan menguji bentuk kerjasama yang sesuai bagi kedua-dua gabungan berkenaan.

“PRN Negeri Sembilan ini, walaupun data awal yang kita ada bukanlah berada dalam keadaan yang kritikal berbanding dengan Kedah ataupun sebahagian tempat di Pualau Pinang, negeri ini nampak lebih selesa.

“Negeri ini dominannya adalah PH dan UMNO dan ia menjadi medan untuk menguji bentuk kerjasama dengan UMNO.

“Kalau berjaya diuji dengan baik, ia akan dijadikan model untuk kerajaan Perpaduan,” katanya kepada Buletin TV3.

Beliau menjangkakan sebarang bentuk rundingan kerjasama lebih mudah dilakukan dengan pemimpin kanan kedua-dua gabungan berkenaan.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Nasional PKR yakin rundingan kerjasama tersebut akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun ujarnya, pandangan pelbagai pihak perlu diperhalusi terlebih dahulu sebelum keputusan dicapai di antara dua gabungan politik itu.

Jelasnya, bagi PH proses kerjasama itu dijangka lebih mudah ekoran persepakatan parti komponennya seperti DAP, PKR dan AMANAH sudah sekian lama terjalin.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Konvensyen Pilihan Raya PKR Negeri Sembilan di sini malam tadi.

Loading...
Terkini