comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] PAS tak sertai Kerajaan Perpaduan, jadi pembangkang konstruktif

KUALA LUMPUR: PAS menegaskan tidak akan menyertai Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif bersama Perikatan Nasional (PN).

Kenyataan terkini dikeluarkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, itu menyusul kira-kira 24 jam selepas parti itu memaklumkan akan membincangkan tawaran menyertai Kerajaan Perpaduan bersama rakan komponen PN.

Ia senada dengan kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menegaskan gabungan parti politik itu akan memainkan peranan semak dan imbang dalam Parlimen dengan membawa suara rakyat selaras prinsip demokrasi berparlimen.

“Setelah membuat pertimbangan dari pelbagai sudut serta meneliti pendapat umum, PAS berpendirian tidak akan menyertai Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) dan DAP.

“Ia demi menghormati kepercayaan dan mandat majoriti rakyat khususnya pengundi yang memilih PAS dan PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya Takiyuddin melalui kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu Takiyuddin berkata, PAS akan terus berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif dengan menasihati semua pihak bagi memastikan tadbir urus negara berjalan lancar dan dapat ditegakkan berpaksikan kepada prinsip prihatin, bersih dan stabil.

Semalam, Takiyuddin melalui kenyataan kepada media memaklumkan selain berbincang dengan rakan komponen dalam PN, PAS juga akan meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya pengundi yang memberikan undi memberangsangkan kepada PAS dan PN dalam PRU-15.

Ia susulan sidang media sulung Anwar selepas mengangkat sumpah memegang jawatan Perdana Menteri yang mengajak PN mendukung Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkannya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini