comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemilihan UMNO: 6 ketua bahagian di Johor menang tanpa bertanding

Pertembungan antara Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan penyandang Ketua UMNO Pontian, Datuk Seri Hasni Mohamed mencuri tumpuan pada pemilihan yang bermula pagi tadi.

PONTIAN: Enam Ketua UMNO Bahagian di Johor menang tanpa bertanding pada pemilihan parti di peringkat bahagian masing-masing yang bermula pagi tadi.

Mereka ialah Pengerusi badan perhubungan UMNO Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin bagi bahagian Pasir Gudang, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi (Simpang Renggam), Datuk Nur Jazlan Mohamed (Pulai), Muszaidi Makmor (Kota Tinggi) dan Datuk Zulkurnain Kamisan (Parit Sulong).

Manakala Datuk Abdul Ghani Abd Rashid yang sebelum ini memangku Ketua UMNO Bahagian Sembrong turut menang tanpa bertanding.

Dua puluh bahagian menyaksikan pertandingan dua hingga tiga penjuru.

Daripada jumlah itu lima bahagian berdepan saingan tiga penjuru iaitu Ledang, Muar, Sri Gading, Batu Pahat dan Kulai.

Antara bahagian yang mencuri tumpuan ialah Pontian.

Ia menyaksikan pertembungan antara Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang berdepan penyandang ketua bahagian itu, Datuk Seri Hasni Mohamed.

Beliau yakin mampu memberi sumbangan bagi mengukuhkan UMNO sekiranya diberi mandat.

“Saya yakin itu dilihat sebagai satu wajah baru satu suara baru dan yang lebih penting ialah harapan yang boleh diletakkan dan saya yakin dapat saya kumpulkan dengan sebaiknya,” katanya ketika ditemui pada Pemilihan UMNO Bahagian Pontian, di sini, pagi tadi.

Datuk Seri Hasni adalah penyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Pontian sejak 2001.

Manakala Ahmad pula menjawat jawatan Timbalan Ketua sejak 2008.

Kedua-dua tokoh ini turut mencuba nasib di peringkat pusat apabila bertanding bagi merebut jawatan Naib Presiden UMNO.

Loading...
Terkini