comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Petisyen batal empat kerusi PRN Selangor, dalam masa terdekat – Amirudin

KUALA LANGAT: Petisyen pilihan raya bagi membatalkan keputusan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang dimenangi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan lalu, akan dikemukakan dalam masa terdekat, jelas Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

“(Petisyen) itu sedang diperhalusi, kita telah bincang untuk pihak PKR dahulu dan memang kita sudah semak semua perkara. Insya-Allah ia akan dikemukakan dalam masa terdekat, kita sedang menunggu proses keputusan pewartaan yang telah dibuat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program FIT Malaysia peringkat Selangor 2023, hari ini.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan keputusan dan penyata pengundian selepas penjumlahan rasmi undi PRN di enam negeri telah diwartakan pada 29 Ogos lepas.

Artikel berkaitan: PRN 2023: PH-BN akan failkan petisyen pilihan raya – Amirudin

Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mempertimbangkan untuk memfailkan petisyen pilihan raya di kerusi  DUN Sungai Kandis, Taman Medan, Gombak Setia dan Dengkil, yang majoriti kemenangan adalah rendah.

Keputusan bagi empat kerusi berkenaan menyaksikan PH-BN kalah dengan 407 undi di Dengkil, Sungai Kandis (167), Gombak Setia (58) dan Taman Medan (30).

Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor, berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat biro politik dan Majlis Pimpinan Negeri dengan pasukan peguam akan membuat penelitian lanjut berhubung kes di semua kerusi berkenaan. – BERNAMA

Loading...
Terkini