comscore
Tumpuan :
Nasional

Amirudin mula tugas MB Selangor

Amirudin (kiri) memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Besar Selangor di Shah Alam, pagi ini. – Foto: Amirudin Shari/Facebook

SHAH ALAM: Datuk Seri Amirudin Shari memulakan tugas hari pertama sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal baharu di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, pagi ini.

Amirudin tiba pada jam 7.58 pagi dan mengimbas cap jari dan kad pada perakam masa tepat jam 8 pagi di Pejabat Menteri Besar di Tingkat 21 bangunan berkenaan.

Ketibaan beliau disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim serta kakitangan pentadbiran Pejabat Menteri Besar.

Amirudin yang berpakaian sut serba kelabu kemudian menghadiri perhimpunan penjawat awam serta melancarkan kempen kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Dewan Jubli Perak di sini.

Foto: Amirudin Shari/Facebook

Semalam Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor itu mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar buat penggal kedua di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah.

Amirudin dilantik semula jawatan itu selepas PH dan Barisan Nasional (BN) memenangi 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos lalu.

Beliau mempertahan kerusi Sungai Tua yang disandang sejak 2008 selepas menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Hanif Jamaluddin dan G Suman (Bebas).

Loading...
Terkini