comscore
Tumpuan :
Politik

PRK DUN Sungai Bakap: Masalah air berlarutan, antara perhatian utama Abidin

Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail (tengah) ketika diumumkan sebagai Ahli Dewan Undangan Baru (ADUN) N.20 Sungai Bakap.-Foto: NSTP

NIBONG TEBAL: Calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada PRK Sungai Bakap hari ini berikrar untuk terus memperjuangkan suara rakyat di kawasan tersebut.

Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal itu berkata keutamaan beliau pada ketika ini ialah membantu menyelesaikan masalah air yang berlarutan sejak enam tahun lalu di Mukim Lima, Sungai Bakap.

“Ini menjadi prioriti kerana isu air di Mukim 5 antara perkara yang kita ambil perhatian dan inilah yang perlu kita bincang dengan agensi berkaitan bagi menangani masalah ini, insya-Allah.

“Keutamaan turut akan diberikan untuk menyelesaikan isu-isu utama yang membelenggu masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, Dewan Serbaguna Jawi, malam ini.

Sebelum pengumuman rasmi itu, lebih 2,000 penyokong Perikatan Nasional (PN) menanti Abidin, 56, yang turut diiringi pemimpin PN pada jarak lebih 50 meter dari sempadan pusat penjumlahan undi berkenaan.

Abidin dalam pada itu menyifatkan kemenangannya, dengan majoriti lebih besar, memberi isyarat dan merupakan tanda ‘protes’ rakyat kepada kerajaan yang dianggap menekan mereka.

Terdahulu beliau berterima kasih dan menghargai sokongan penuh jenetra parti komponen dari BERSATU dan GERAKAN pada peringkat nasional dan negeri yang turun padang membantu bagi memastikan kemenangan PN.

“Alhamdulillah terima kasih, Allah bagi kemenangan kepada PN dengan adanya bantuan sahabat-sahabat jentera PN seluruh Malaysia kita menang majoriti yang tinggi dari Pilihan Raya Negeri yang lalu.

“Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pimpinan PN Yang telah memberi kepercayaan kepada saya sebagai calon,” ujarnya.

Abidin, 56, yang akrab disapa sebagai Abang Abidin memperoleh 14,489 undi menewaskan pencabarnya daripada Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin yang meraih 10,222 undi.

Beliau menang dengan majoriti 4,267 undi, membolehkan wakil rakyat baharu itu meneruskan legasi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff yang menjawat jawatan Yang Dipertua PAS Nibong Tebal semasa hayatnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini