comscore
Tumpuan :
Politik

PRK Jepak: Kekuatan politik, perpaduan ahli, kunci kejayaan GPS sejak dua penggal

BINTULU: Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah berjaya membuktikan kedudukannya sebagai parti penentu kerajaan sejak dua penggal lalu.

Kejayaan itu dicapai oleh gabungan berkenaan menerusi kekuatan politik yang terhasil daripada perpaduan yang utuh dalam kalangan parti berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata keputusan pucuk pimpinan empat parti yang membentuk GPS iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) keluar daripada Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan raya Umum ke-14 lalu adalah untuk memastikan usaha memajukan Sarawak mengikut acuan sendiri.

Keputusan itu dilihat tepat apabila Sarawak dapat ditadbir dengan baik sehingga ia dapat meningkatkan pendapatannya selain berupaya menerokai bidang ekonomi baharu yang turut menjadi contoh kepada negeri-negeri lain di Malaysia.

“Apabila kerajaan kita mentadbir baik, ekonomi akan terus berkembang dan bila ekonomi berkembang, rakyat bertambah sejahtera.

“Maka disebab itu sasarannya (GPS) adalah untuk menjadikan Sarawak ini negeri yang maju dan makmur.

” Saya yakin ini dapat dicapai namum apa yang penting perpaduan dikalangan rakyat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Makan Malam Persatuan Melanau Bintulu di sini.

Fadillah yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) turut meminta ahli PBB dan GPS untuk tidak leka dengan kekuatan dimiliki oleh gabungan parti berkenaan ketika ini termasuk ketika berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri DUN Jepak.

Walaupun menjangkakan tidak mempunyai masalah untuk memenangi kerusi berkenaan, namun beliau tetap berharap momentum kemenangan di kawasan terbabit terus dikekalkan dengan memastikan sebanyak mungkin pengundi dapat menunaikan tanggungjawab mereka.

PRK DUN Jepak yang akan diadakan pada 4 November ini melibatkan pertandingan tiga penjuru antara Calon GPS Iskandar Turkee yang ditentang calon dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) Joseph Sumbang dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing.

Kerusi DUN terbabit kosong susulan kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lalu akibat pelbagai komplikasi kesihatan.

|ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini