comscore
Tumpuan :
Politik

PRK Jepak: Keputusan dijangka jam 9 malam- SPR 

Abdul Ghani ketika ditemubual selepas meninjau proses pengundian di Pusat Mengundi, Sekolah Kebangsaan Bintulu di sini, hari ini.-Foto: NSTP

BINTULU: Keputusan penuh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak dijangka diketahui kira-kira jam 9 malam nanti.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata ini kerana lokasi paling jauh di kawasan DUN Jepak terletak kira-kira satu jam perjalanan saja.

“Kita harap cuaca terus elok dan tidak ada gangguan dari segi kiraan dan sebagainya,” katanya selepas meninjau proses pengundian di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Bintulu di sini, hari ini.

 

PRK DUN Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Talib Zulpilip, sekali gus menyaksikan tiga calon bertanding bagi mengisi kekosongan itu iaitu Iskandar Turkee daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Chieng Lea Phing daripada Parti Aspirasi Anak Sarawak (Aspirasi) dan Stevenson Joseph Sumbang calon Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Menjelas lanjut, beliau berkata, kiraan undi akan dibuat di setiap saluran mengundi dan penjumlahan sepenuhnya dibuat di Dewan Suara Bintulu untuk pengumuman keputusan.

Katanya, sebanyak 14 Pusat Mengundi dan 45 Saluran dibuka untuk pengundian bagi seramai 22,731 pengundi berdaftar.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, prestasi keluar mengundi setakat jam 12 tengah hari ini agak rendah, iaitu hanya mencapai 33 peratus.

Justeru, beliau menggesa semua pengundi keluar mengundi supaya mencapai sasaran peratusan keluar mengundi sekurang-kurangnya 65 peratus.

“Kita lihat cuaca amat elok tetapi prestasi yang keluar mengundi agak kurang menyenangkan. Jadi, saya menggesa semua pengundi DUN Jepak keluar segera menunaikan tanggungjawab masing-masing, kita ada masa sehingga jam 5.30 petang,” katanya.

Abdul Ghani berkata, daripada 14 Pusat Mengundi yang dibuka, tiga dijangka tutup awal kira-kira jam 4 petang, manakala yang lain ditutup pada jam 5.30 petang.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini