comscore
Tumpuan :
Politik

PRK JOHOR: Pengundi mahu kenal calon secara bersemuka berbanding dengar ceramah – Suhaizan

Suhaizan ketika menghadiri program bersama penduduk Kampung Pasir. – Foto: NSTP

JOHOR BAHRU: Suasana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai yang dilihat lesu serta kurang hangat adalah berikutan perubahan kaedah berkempen.

Calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat berkata, jentera pihaknya menggunakan pendekatan bertemu pengundi secara dalam kelompok kecil, sekali gus menyebabkan rentak PRK itu seolah-olah kurang dirasai berbanding pilihan raya sebelum ini.

“Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum ini, kempen yang dijalankan lebih berskala besar dengan ceramah mega diadakan hampir saban hari.

“Namun pada PRK Parlimen Pulai kali ini, pendekatan dan kaedah berkempen diubah kepada perjumpaan secara terus dengan pengundi dalam skala lebih kecil serta bersifat mesra.

“Perubahan rentak berkempen ini dibuat selepas kita mendapati kaedah ceramah mega tidak lagi berkesan kerana pengundi tidak gemar hadir. Sebaliknya, mereka mahu mengenali calon secara bersemuka berbanding mendengar ceramah.

“Kaedah bertemu pengundi secara dalam komuniti kecil, selain kempen dari rumah ke rumah lebih digemari pengundi Melayu yang bukan saja dapat mengemukakan pandangan mereka tetapi juga lebih mudah menyatakan sebarang masalah dihadapi,” katanya kepada pemberita pada program penghasilan baja bokashi bersama penduduk Kampung Pasir, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja DAP Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Suhaizan yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata, penyokong parti politik juga disarankan untuk bersederhana dalam berkempen susulan sambutan Hari Kebangsaan 2023, esok.

Beliau menekankan, sambutan ulang tahun kemerdekaan negara adalah lebih besar dengan semangat perpaduan dan keharmonian harus terus dijaga walaupun ketika berkempen.

“Pendekatan digunakan PH – Barisan Nasional (BN) ialah sentiasa bersederhana dalam berkempen, iaitu kami tidak mahu bersikap ekstrem walaupun berbeza fahaman politik. Ia bagi mengelakkan perpecahan masyarakat daripada berlaku, lebih-lebih lagi dalam suasana kemerdekaan negara ketika ini,” katanya.

“Ini kerana saya mendapati pengundi Parlimen Pulai menghadiri pelbagai program dan aktiviti politik yang dianjurkan kedua-dua parti bertanding. Sekejap mereka datang program PH, kemudian pergi program Perikatan Nasional (PN) pula untuk membuat penilaian,” katanya.

Loading...
Terkini