comscore
Tumpuan :
Politik

PRK JOHOR: ‘Saya akan dedah satu persatu pembohongan Haji Hadi’ – Mat Sabu

 

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu. Foto fail NSTP

JOHOR BAHRU: Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu akan mendedahkan pembohongan dilakukan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang di sebalik imej Islamiknya.

Mohamad berkata, pendedahan terhadap Abdul Hadi itu dibuat berikutan sudah tiba masanya rakyat mengetahui perkara sebenar di sebalik keputusan PAS meninggalkan Pakatan Rakyat (PR), sebelum ini.

“Semalam Presiden PAS ‘tembak’ mengatakan mereka tinggalkan PR kerana parti DAP tolak hudud. Saya tidak akan jawab malam ini, saya akan jawab malam esok (Isnin) di Simpang Jeram, Muar.

“Saya akan jawab malam nanti bagaimana Presiden PAS membuat pembohongan kepada rakyat. Saya akan jawab satu persatu malam esok (malam ini) pembohongan itu.

“Aku bukan orang kecil, aku bekas Timbalan Presiden PAS. Jangan tipu Rakyat di atas kopiah kamu itu, ‘no more,” katanya berucap pada ceramah Perpaduan Pulai di Nusa Bestari, malam tadi.

Hadir sama, calon PH di Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat; Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Naib Ketua PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse.

Terdahulu, Abdul Hadi dalam ucapannya di markas PAS Bakri semalam dilaporkan mendakwa tindakan segelintir ahli dan bekas pemimpin parti itu menyertai AMANAH adalah kerana takut kalah dalam pilihan raya.

Beliau turut dilaporkan menyifatkan mereka sebagai lemah semangat sehingga sanggup meninggalkan dasar perjuangan PAS.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, bekas pemimpin PAS termasuk Mohamad bersama Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Khalid Samad dilantik sebagai menteri.

Sementara itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, PAS dan sekutunya Perikatan Nasional (PN) sanggup menggunakan Islam demi kepentingan mereka.

“Sebagai contoh di Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, ketika kempen mereka menggunakan isu sekolah agama dan tahfiz diarahkan tutup. Isu itu membuatkan pengundi Melayu percayakan mereka.

“Padahal arahan Sultan Selangor pada waktu itu supaya semua sekolah agama yang tak ikut peraturan dan standard piawaian mesti ditutup sebab boleh mengundang masalah dan mereka perlu buat pembaharuan jika mahu beroperasi semula.

“Isu itu menyebabkan PAS dan PN dapat sokongan sementara. Saya yakin pembohongan mereka itu tak boleh bertahan hingga empat tahun akan datang.

“Rakyat akan melihat perubahan ini. Saya yakin rakyat tak bodoh dan kembali sokong Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Loading...
Terkini