comscore
Tumpuan :
Politik

PRK medan nilai keserasian, kerjasama pelbagai parti dalam Kerajaan Perpaduan – Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) melambai kepada perwakilan Persidangan UMNO Bahagian Kuala Pilah, hari ini. – FOTO: NSTP

KUALA PILAH: UMNO membantu calon parti lain dalam Kerajaan Perpaduan yang bertanding pilihan raya kecil (PRK) seolah-olah UMNO sendiri bertanding, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, PRK yang diadakan di beberapa negeri setakat ini menjadi latihan dalam menilai keserasian dan kerjasama pelbagai parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Keserasian itu, kata Timbalan Perdana Menteri, jelas terserlah apabila semua kepemimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan memberikan kerjasama dan sokongan padu terhadap calon walaupun dari parti yang berbeza.

“Sebagai contoh, PRK Sungai Bakap, calon daripada PKR, tetapi kaedah kita membantu calon, seolah-olah kita (UMNO) yang bertanding, jentera UMNO dari Perlis, Kedah dan utara Perak tampil membantu.

“Sebelum ini, PRK Pelangai ditandingi UMNO, semua parti dalam Kerajaan Perpaduan, dari AMANAH, PKR dan DAP memberikan sokongan membantu calon kita. Situasi serupa juga pada PRK Simpang Jeram yang ditandingi AMANAH dan PRK Kuala Kubu Bharu, calon DAP.

“Jentera akar umbi kita bekerja keras membantu mereka. Kalau orang lain boleh berterima kasih kepada kita, kita pun harus melakukan perkara yang sama. Inilah semangat setiakiawan yang ada antara kita,” katanya merasmikan persidangan UMNO Bahagian Kuala Pilah, di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut meminta kerjasama semua ahli UMNO untuk memastikan parti itu kembali dominan dalam arena politik negara.

“UMNO memerlukan sokongan daripada bukan ahli dan ahli parti lain untuk menyokong parti kita semasa pilihan raya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menafikan agenda Melayu dan Bumiputera terancam sejak UMNO bersama Kerajaan Perpaduan.

Tegasnya, setiap kertas Kabinet yang dibawa olehnya dan menteri UMNO lain membabitkan kepentingan Melayu dan Bumiputera untuk dibincangkan, manakala pemimpin dari parti lain, DAP dan PKR tidak membantah, sebaliknya memberikan sokongan.

“Saya minta diwujudkan Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP), Jawatankuasa Desa MADANI, Pra-Tahfiz Kemas, TVET Giat Mara dan Yayas Pendidikan MARA. Semuanya adalah agenda Melayu.

“Menteri dari DAP seperti Anthony Loke, Nga Kor Ming ataupun Hannah Yeoh tidak membantah, malah usaha menambahkan peruntukan bagi maahad tahfiz mendapat sokongan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid mengumumkan 200 tempat ditawarkan kepada anak Negeri Sembilan bagi mengikuti kursus jangka pendek dan sederhana berkait Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke China.

“Sebanyak 200 daripada 5,125 tawaran yang kita terima, diberikan kepada pelajar TVET Negeri Sembilan. Kita akan kemukakan senarai nama ini bersama pelajar dari tempat lain yang telah saya tawarkan sebelum ini,”katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini