comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK Sungai Bakap: Saya fokus kerja, politik biar kemudian – Anwar

Oleh: Kumaran Rajamoney

SEBERANG JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tumpuan beliau adalah bagi memastikan urusan pentadbiran negara dapat dijalankan dengan baik, dan bukan kepada soal politik kepartian.

Jelasnya, lawatan kerja beliau di Pulau Pinang hari ini tertumpu kepada agenda pembangunan ekonomi tanpa menghadiri sebarang aktiviti politik sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.

“Saya bincang soal pembangunan projek-projek di Pulau Pinang yang turut dihadiri jawatankuasa agensi persekutuan termasuk Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), selain menyantuni program berkaitan TEKUN Nasional.”

“Kerangka Ekonomi Madani memfokuskan kepada usaha memperkasakan rakyat. Terkini, kita dapat mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia dan tinjauan ekonomi positif oleh S&P Global Ratings (S&P) dan Fitch Ratings (Fitch) masing-masing pada skala A- dan B+,” katanya.

Tegas beliau, kerajaan komited dalam memastikan setiap masalah rakyat dapat diselesaikan tanpa terlalu menumpukan kepada pertimbangan politik.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Karnival TEKUN Madani di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (PMKS), Datuk Ewon Benedick, Timbalan Menteri PMKS, Datuk Ramanan Ramakrishnan dan Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Abdullah Abd Sani.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini