comscore
Tumpuan :
Politik

PRN 2023: Ada atau tiada nama nanti, saya patuh kepada parti – Nik Abduh

Foto NSTP

BACHOK: Sama ada namanya tersenarai antara calon pada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyerahkan keputusan itu kepada pucuk pimpinan parti.

Paling penting katanya adalah beliau tetap kekal istiqamah dan akan bersama jentera PAS tidak kira apa yang berlaku.

“Saya sudah sebut, itu (soal calon) urusan pimpinan dan terserah kepada pimpinan untuk membuat keputusan.

“Saya tidak pasti dan tidak dimaklumkan sama ada nama saya naik atau turun untuk PRN ini. Apa sahaja keputusan, saya terima jika ada atau tiada nama nanti.

“Saya ahli PAS dan saya patuh kepada parti,” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Mega Pakat Pertahan, di sini, malam tadi.

Sementara itu, ketika ditanya terdapat dakwaan cubaan untuk menguburkan legasi Tok Guru Nik Abdul Aziz sekiranya beliau tidak diangkat sebagai calon pada PRN nanti, Nik Mohamad Abduh bagaimanapun menafikan perkara itu.

Beliau sebaliknya menegaskan legasi Tok Guru bukan menjadi calon, memperjuangkan Islam dan mempertahankan kerajaan negeri adalah legasi Tok Guru.

Media sebelum ini melaporkan, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang meminta semua pihak menunggu pada hari penamaan calon sama ada nama bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh ada atau sebaliknya.

Katanya, pihaknya akan membuat kejutan pada hari penamaan calon nanti termasuk kemungkinan tokoh daripada UMNO juga turut ditampilkan sebagai calon.

Pada masa sama, Nik Mohamad Abduh turut menyambut baik pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam dan berharap tiada mana-mana parti yang berkempen melampau batas.

Katanya yang turut berharap perjalanan PRN nanti berjalan lancar dan semua pengundi dapat menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian nanti.

 

Loading...
Terkini