comscore
Tumpuan :
Politik

PRN 2023: Sokongan gabungan PH-BN di tahap terbaik – Rafizi

SHAH ALAM: Sokongan pengundi terhadap gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang ketika ini berada di tahap terbaik.

Menurut Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, kesimpulan itu dibuat berdasarkan maklumat daripada pelbagai sumber serta laporan dari lapangan yang diterimanya, sekali gus menafikan dakwaan bahawa tiga negeri yang ditadbir PH itu akan tumbang selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagaimana diuar-uarkan Perikatan Nasional (PN).

“Saya berani katakan kejatuhan Kerajaan Perpaduan selepas PRN seperti yang digula-gulakan pimpinan PN kepada penyokong mereka tidak akan berlaku kerana laporan yang kita terima adalah sebaliknya,” katanya ketika berkempen pada Jelajah Perpaduan sempena PRN Selangor di Sungai Kandis, dekat sini, malam tadi.

Pemimpin PN dalam ceramah mereka sepanjang kempen PRN memberi gambaran bahawa kerajaan PH-BN akan tumbang sekiranya gabungan PAS dan BERSATU itu berjaya merampas dua negeri di bawah penguasaan PH iaitu Selangor dan Negeri Sembilan pada PRN kali ini.

Dalam pada itu, Rafizi membayangkan kerjasama PAS dan BERSATU dalam PN tidak akan bertahan berdasarkan pengalaman PKR pernah bekerjasama dengan kedua-dua parti berkenaan.

PRN Selangor yang akan berlangsung serentak dengan Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos ini bakal menyaksikan seramai 3,747,057 pengundi berdaftar layak mengundi bagi menentukan wakil rakyat di 56 kerusi yang dipertandingkan. – BERNAMA

Loading...
Terkini