comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Fokus tingkatkan pendidikan, ekonomi Orang Asli

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua dari kiri) diiringi calon BN N.039 Kemayan, Khaizulnizam Mohamad Zuldin (kiri) beramah mesra dengan penduduk kampung ketika Program Moh Ngeteh Santai Orang Kita di Kampung Orang Asli Bongkok, Bera – Foto: NSTP

BERA: Kerajaan mensasarkan lebih ramai Orang Asli menyerlah dalam pendidikan dan perniagaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kerajaan pimpinannya menerusi Bajet 2023 sebanyak RM305 juta menjadikan angka tertinggi diberikan untuk meningkatkan taraf hidup komuniti itu.

Menurutnya, pelbagai biasiswa ditawarkan termasuk menerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk memastikan taraf pendidikan Orang Asli berada ditahap tertinggi.

“Setiap tahun, seramai 10 orang dari komuniti Orang Asli akan dihantar ke luar negara untuk belajar di peringkat tertinggi.

“Kita perlu sedar untuk menjadi negara berjaya pendidikan adalah kunci utama kejayaan dan kerajaan mahu Orang Asli turut berjaya,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Ngeteh Santai Orang Kita di Perkampungan Orang Asli Kampung Bongkok di sini, hari ini.

Ismail Sabri yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bera berkata, kerajaan juga giat menganjurkan pelbagai program keusahawanan untuk masyarakat Orang Asli.

Katanya, warga muda Orang Asli digalakkan untuk menjadi usahawan untuk meningkatkan ekonomi domestik.

“Pelbagai program dianjurkan kerajaan menerusi agensi berkaitan untuk memastikan pelbagai program usahawan dianjurkan dalam kalangan Orang Asli.

“Tahun ini kerajaan menyediakan peruntukan khusus untuk pembangunan usahawan belia Orang Asli bagi latihan usahawan dijalankan,” katanya.

Loading...
Terkini