comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: PH buat laporan polis terhadap Hadi

Abdul Hadi berucap ketika majlis pelancaran Manifesto Parti Perikatan Nasional (PN) Pahang, di Jerantut, kelmarin. – Foto NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

Setiausaha DAP Kuala Lumpur, Lim Lip Eng, membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, hari ini.

Lip Eng berkata, Abdul Hadi antara lain, didakwa mengeluarkan kenyataan mengaitkan PH dengan fahaman komunis serta antituhan dalam majlis di Temerloh, Pahang, kelmarin.

Beliau memetik laporan Malaysiakini berkata, Presiden PAS dilaporkan mendakwa PH dan Barisan Nasional (BN) sebagai gabungan yang mempunyai pelbagai masalah, termasuk rasuah yang tidak terkawal, dan hanya Perikatan Nasional (PN) yang boleh mentadbir Malaysia dengan baik.

“(Beliau berkata) Parti dalam PH ini macam-macam jenis ada. Yang komunis ada. Yang antituhan pun ada. Yang liberal pun ada. LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) pun ada. Yang bagi rasuah pun ada. Yang terima rasuah pun ada.

“(Katanya) Semua ada dalam parti mereka. Ini menjadi satu masalah. PH ini ‘gelap’. BN ‘keruh dan kelabu’. Jadi kita ambillah yang jernih. Yang baik iaitu PN,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Ketua AMANAH Kepong, Zainal Abidin Rahmat dan Timbalan Ketua Parlimen Parti MUDA Kepong, Mohamad Momen Abdul Aziz.

Lip Eng berkata, polis wajar menyiasat Abdul Hadi yang mengeluarkan kenyataan bersifat tuduhan tanpa bukti serta boleh menimbulkan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Dia (Abdul Hadi) sekali lagi menuduh PH sebagai komunis. Sejak Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu, ini adalah kali keempat Presiden PAS itu menuduh PH sebagai komunis. Selain itu dia juga menuduh PH sebagai antiraja.

“Kali ini, dia (Abdul Hadi) menambah PH sebagai antituhan. Ini semua tuduhan yang amat serius.

“Minggu lepas saya ada cabar beliau untuk membuat laporan polis sekiranya segala tuduhannya itu adalah benar, tetapi Abdul Hadi tidak berani buat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata, apa yang diperkata Abdul Hadi terhadap PH ada penipuan semata-mata dan segala tuduhan yang dilemparkan Abdul Hadi dan PAS itu tidak sewajarnya digunakan sebagai bahan kempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

“Ini menunjukkan PAS tidak tahu apa isu yang lebih penting kepada rakyat, kerana isu yang lebih penting kepada PH pada PRU kali ini adalah isu ekonomi, kos sara hidup dan inflasi. Ini fokus kami (PH).

“Tetapi PAS lebih fokus untuk memainkan isu bangsa, agama dan komunis. Maka laporan polis hari ini untuk meminta polis menyiasat tohmahan dan penipuan yang dibuat oleh Abdul Hadi,” katanya.

Lip Eng berkata, kenyataan dikeluarkan oleh Abdul Hadi itu jelas berbentuk provokasi yang boleh menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini