comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Pusat penamaan calon Parlimen Padang Serai, Dun Tioman dibuka 9 pagi

Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Azman Nasrudin (kanan) tiba di Pusat Penamaan Calon (PPC) Parlimen Padang Serai di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Kulim. – FOTO: DANIAL SAAD / NSTP

Pusat penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi Parlimen Padang Serai, Kedah dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Tioman, Pahang dibuka 9 pagi ini.

Bagi Padang Serai, pusat penamaan calon di Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech di Kulim manakala bagi Tioman, di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin.

Kedua-dua pusat itu dibuka sehingga 10 pagi.

Calon-calon yang sudah sah dinamakan bagi kedua-dua kerusi itu pada 5 November lepas perlu hadir di pusat penamaan calon untuk tujuan cabutan undi menentukan giliran pada kertas undi, manakala calon baharu perlu menyerahkan kertas penamaan calon masing-masing.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 7 Disember dan pengundian awal pada 3 Disember dengan tempoh berkempen selama 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon hingga 11.59 malam 6 Disember.

PRU-15 di kedua-dua kawasan berkenaan ditangguhkan berikutan kematian calon yang sudah disahkan bertanding iaitu M Karupaiya mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Padang Serai dan Md Yunus Ramli dari Perikatan Nasional (PN) di Dun Tioman.

Karupaiya, 69, meninggal dunia pada 16 November lepas dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan, manakala Md Yunus, 61, disahkan meninggal dunia beberapa jam sebelum proses pengundian PRU-15, Sabtu lepas (19 November).

Loading...
Terkini