comscore
Tumpuan :
Politik

PRK DUN Pelangai: Calon PN antara terawal mengundi 

BENTONG: Calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat antara pengundi terawal hadir bagi menjalankan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Beliau tiba pada pukul 8.20 pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Chemomoi yang dijadikan pusat pengundian untuk pilihan raya berkenaan.

Dua lagi calon tidak mengundi kerana mereka bukan pemilih yang berdaftar di kawasan Pelangai.

PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru terdiri daripada Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong, Datuk Amizar Abu Adam dari BN; Naib Yang Dipertua PAS Bentong, Kasim Samat (PN) dan Haslihelmy DM Zulhasli, calon Bebas.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor Ogos lalu.

Calon Perikatan Nasional, Kasim Samat hadir mengundi bersama isteri di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Chemomoi sempena Pilihanraya Kecil N36 Pelangai. NSTP

Cuaca diramal baik di daerah Bentong pada sebelah pagi manakala ribut petir dijangka pada waktu petang, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi, calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri (2,031 undi) dan calon Pejuang Isa Ahmad (65 undi).

Bagi proses pengundian yang bermula 8 pagi hingga 6 petang ini, sebanyak sembilan pusat mengundi biasa membabitkan 30 saluran dibuka, sebelum proses penjumlahan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini