comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15 : “Saya hanya mahu bertanding di Ketereh” – Annuar

KOTA BHARU : Penyandang Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, menegaskan beliau hanya akan bertanding di Ketereh yang juga tempat kelahirannya, jika ditawar menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pendirian itu tegas beliau sudah menjadi prinsipnya sejak dahulu dan tidak berpindah walaupun ketika kalah sebelum ini.

“Saya sudah buat keputusan sejak dahulu lagi, tak mahu bertanding di tempat lain, sebab prinsip saya mahu berkhidmat di tempat saya dilahirkan, walaupun melihat orang sekarang berpindah randah.

“Cara politik adalah masing-masing. Ada sesetengah orang setiap penggal berpindah, namun saya memilih untuk menawarkan diri berkhidmat di tempat kelahiran dan UMNO bahagian yang saya pimpin.

“Kalau nak suruh saya bertanding di Kuala Lumpur ke, kampung isteri saya ke, itu bukan prinsip saya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) di Peringat, di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada beliau akan kekal bertanding di Parlimen Ketereh, Annuar berkata beliau sendiri tidak tahu dan terserah kepada pucuk pimpinan parti.

“Seperti yang saya kata di Ketereh kita ikut perlembagaan di mana kita di peringkat bahagian sudah mencadangkan nama calon dan diserahkan kepada Badan Perhubungan UMNO negeri sebelum dirujuk kepada pusat.

“Mengikut perlembagaan jika mereka mahu memilih calon lain iaitu bukan senarai yang kita cadangkan, parti hendaklah berunding semula dengan bahagian berkenaan.

“Setakat ini tiada berunding semula dan saya kira nama yang dicadang itu dipertimbangkan. Terima atau tidak saya serahkan kepada pucuk pimpinan,” katanya. – BULETIN TV3

Loading...
Terkini