comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Shahidan Kassim umum lawan BN di Arau

Oleh Amira Suraini Che Mohamad

ARAU: Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mengesahkan akan bertanding menentang calon BN di kerusi Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau membuat keputusan itu selepas kecewa dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tidak mencalonkannya semula di kerusi parlimen tersebut.

“Kalau saya calon boleh menang, saya akan bertanding. Kalau saya calon tak boleh menang, saya tak akan bertanding.

“Tiket apa itu nombor dua, yang penting saya tanya dengan cawangan-cawangan (UMNO), saya harus tanding atas tiket apa. Pada saya, mereka memilih tiket sebuah parti yang menggerak ke arah Muafakat Nasional yang lepas, yang melibatkan Pas dan Bersatu.”

Penyandang kerusi Parlimen Arau selama empat penggal itu turut memberi bayangan bahawa kemungkinan beliau akan bertanding menggunakan tiket Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, beliau mengesahkan masih belum ada sebarang perbincangan dengan PN mengenai hasratnya itu.

“Belum ada perbincangam, tetapi mereka sudah maklum tentang apa yang berlaku kepada saya.

“Kita harap parti yang dipimpin oleh Perpaduan Ummah ini, memenangi pilihan raya”.

Terdahulu, BN telah mengumumkan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Rozabil Abdul Rahman sebagai calon parti itu di Parlimen Arau.

Semalam, Shahidan menerusi hantaran di Facebook memaklumkan semua Bilik Gerakan BN Parlimen Arau telah ditutup dan semua bendera parti turut diturunkan.

Tindakan itu rentetan daripada desas-desus kemungkinan Shahidan hampir pasti digugurkan daripada senarai calon BN pada PRU-15.

Loading...
Terkini