comscore
Tumpuan :
Politik

Pusat undi PRK Pulai, Simpang Jeram dibuka 8 pagi ini

Pengundi mula masuk ke pusat mengundi sempena Pilihanraya Kecil Parlimen Pulai di Sekolah Kebangsaan Seri Melati, Kempas, Johor. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Sebanyak 61 pusat pengundian dengan 362 tempat mengundi atau saluran dibuka serentak bermula 8 pagi ini, sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Ia melibatkan 47 pusat pengundian di Parlimen Pulai manakala 14 pusat pengundian di DUN Simpang Jeram dijadual ditutup pada 6 petang.

Berdasarkan data terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dikeluarkan semalam, seramai 205,810 pengundi berdaftar bakal menunaikan tanggungjawab pada hari ini.

Pengundi beratur menunggu untuk masuk ke pusat mengundi sempena Pilihanraya Kecil Parlimen Pulai di Sekolah Kebangsaan Seri Melati, Kempas, Johor. – FOTO: NSTP

Ia melibatkan sebanyak 165,509 pemilih berdaftar akan mengundi bagi Parlimen Pulai, sementara bagi DUN Simpang Jeram melibatkan 40,301 pengundi yang akan memilih wakil rakyat baharu untuk menggantikan penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai lepas.

Pengundian awal PRK Pulai telah berlangsung pada Selasa lepas (5 Sept) yang menyaksikan 831 pegawai dan anggota polis melaksanakan tanggungjawab mereka dengan jumlah peratusan keluar mengundi sebanyak 90 peratus.

Bagaimanapun, tiada pengundian awal untuk kerusi DUN Simpang Jeram.

Pengundi menjalankan tanggungjawab Sekolah Kebangsaan Seri Bukit Batu pagi ini. – FOTO: NSTP

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, masing-masing akan menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas.

Calon PH Suhaizan Kaiat, Zulkifli Jaafar (PN) dan Samsudin Mohamad Fauzi (Bebas) akan berentap di kerusi Parlimen Pulai, manakala Nazri Abdul Rahman (PH), Dr Mohd Mazri Yahya (PN) dan S. Jeganathan (Bebas) bakal merebut kerusi di DUN Simpang Jeram. – BERNAMA

Loading...
Terkini