comscore
Tumpuan :
Nasional

Rombakan portfolio EXCO Johor minggu depan -Onn Hafiz 

FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengesahkan akan merombak portfolio EXCO Johor minggu depan bagi memperkasakan lagi pentadbiran kerajaan negeri.

“Ya akan ada tetapi ia minimum. Insya-Allah dalam minggu depan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor, di sini, hari ini.

Khamis lalu, dalam majlis Tahun Baru Cina di Kediaman Rasmi Menteri Besar bersama masyarakat Tionghua Johor, Onn Hafiz dilaporkan berkata beliau akan mengambil alih portfolio pelancongan.

Ia sekaligus memberi isyarat akan berlaku rombakan portfolio EXCO yang sebelum ini heboh diperkatakan di negeri ini.

Onn Hafiz sebelum ini memegang portfolio Pelancongan, Belia dan Sukan, sebelum mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19, pada 15 Mac 2022.

Jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor ketika ini disandang ADUN Tenggaroh, K Raven Kumar.

Dalam pada itu, mesyuarat Perhubungan Negeri Johor berkenaan adalah yang pertama dipengerusikan Onn Hafiz selepas dilantik sebagai Pengerusi UMNO Johor 6 Disember lalu.

Beliau menggantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang dilantik ke jawatan itu dua tahun lalu selepas Pilihan Raya Negeri Johor, pada Mac 2022.

Hadir sama pada mesyuarat itu adalah Mohamed Khaled yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang dan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini