comscore
Tumpuan :
Politik

Siapa bakal MB N9?

Datuk Seri Aminuddin Harun, Datuk Seri Jalaluddin Alias

SEREMBAN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, dijangka mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan di Istana Seri Menanti, Kuala Pilah, petang ini.

Seorang pemimpin kanan DAP ketika dihubungi, menzahirkan keyakinan bahawa Aminuddin yang juga memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat Sabtu lalu akan dilantik sekali lagi untuk memegang jawatan nombor satu negeri itu.

“Walaupun maklumat mengenai nama MB Negeri Sembilan tidak disebut dalam surat jemputan bagi majlis mengangkat sumpah di Istana Seri Menanti, petang ini, saya yakin dan percaya bahawa Aminuddin akan dilantik sebagai MB,” katanya.

Turut melahirkan keyakinan sama ialah pemenang kerusi DUN Klawang daripada AMANAH, Datuk Bakri Sawir.

Beliau berkata, PH memenangi lebih banyak kerusi membabitkan 17 DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu berbanding Barisan Nasional (BN) hanya 14 kerusi.

“Kita (PH) memenangi 17 kerusi, BN (14 kerusi) dan pembangkang (Perikatan Nasional/PN) hanya lima kerusi, justeru PH yang mendominasi. Memang tiada pengumuman lagi (siapa bakal menjadi MB), namun logiknya Aminuddin yang sepatutnya dilantik.

“Itu yang kita uar-uarkan pun sebelum pilihan raya. Jangkaan kita ialah Aminuddin. Adalah agak mustahil untuk berubah (calon MB) kecuali ada pengkhianatan daripada BN,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias ketika dihubungi mendakwa pihaknya tidak dibawa berunding dalam soal pemilihan calon MB.

“Dalam perkara ini, kami (UMNO) bukan tidak setuju, namun isunya ialah kami tidak dibawa berunding. Kami ada 14 kerusi, parti tunggal yang mewakili orang Melayu di Negeri Sembilan.

“Setakat ini, saya tidak mendapat maklum balas daripada pihak Aminuddin (PH). Namun, saya berusaha untuk mengharmonikan perkara ini,” katanya yang memaklumkan akan mengadakan sidang media pada tengah hari ini.

Bercakap kepada media, semalam, Aminuddin menegaskan siapa yang bakal mengangkat sumpah sebagai MB Negeri Sembilan hanya akan diketahui pada jam 3 petang ini.

“Kepada ahli serta jentera parti dan semua penyokong sama ada daripada PH mahupun BN, saya minta bersabar kerana dalam masa yang singkat ini, kita cuba selesaikan dengan cara terbaik bagi memastikan kelangsungan Kerajaan Perpaduan dapat dilaksanakan,” katanya.

Aminuddin turut menegaskan kedudukan beliau sebagai calon MB masih tidak berubah, setakat ini.

Loading...
Terkini