comscore
Tumpuan :
Politik

Tema, logo Hari Kebangsaan berbeza: Jumud, semua perkara dipolitikkan – Zahid  

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membidas cadangan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari untuk empat negeri ditadbir gabungan itu menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza.

Beliau berkata, soal patriotisme seperti logo dan tema Hari Kebangsaan tidak sepatutnya dipolitikkan serta menyifatkan Ahmad Fadhli tidak layak menjadi Ahli Parlimen kerana terlalu berfikiran jumud.

“Dia ini gila ke apa? Tak perlu mempolitikkan perkara ini, jangan ingat semua perkara boleh dipolitikkan”, katanya.

Tegas beliau, sambutan Hari Kebangsaan adalah acara nasional yang wajar disambut secara bersama.

“Ini bukan soal politik sebab soal bendera, perayaan Hari Kebangsaan adalah acara nasional dan saya fikir jangan politikkan perkara ini,” jelasnya selepas menyempurnakan perasmian Kejohanan Bola Sepak Piala Timbalan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Semalam, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, negeri di bawah pentadbiran PN mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza untuk sambutan peringkat negeri, berbanding menggunakan logo dan tema diumumkan di peringkat Persekutuan.

Katanya, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang ditadbir parti itu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN.

Logo yang diperkenalkan Pemuda PN berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan serta mengambil elemen warna yang terdapat pada Jalur Gemilang, dengan tema ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’.

Mei lalu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini dengan mengangkat Malaysia Madani sebagai logo rasmi.

Loading...
Terkini