comscore
Tumpuan :
Politik

Tiada perselisihan faham dengan Shahidan, tetap kekal bersama BN

Oleh: Amira Suraini Che Mohamad

KANGAR: Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim menegaskan beliau kekal bersama UMNO walaupun abangnya Datuk Seri Shahidan Kassim memilih haluan berbeza untuk bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurut Datuk Ismail, beliau menghormati keputusan abangnya yang mahu bertanding di kerusi Parlimen Arau, selepas tidak dicalonkan semula oleh Barisan Nasional (BN).

“Dia (Shahidan) pemimpin di peringkat nasional dan beliau mungkin ada alasan sendiri kenapa mahu berbuat demikian sebab mereka yang berada di persada pimpinan negara, mereka ada maruah dan ada sebab kenapa buat begitu.

“Jadi terserah kepada mereka. Antara saya dan abang saya sudah tentu tidak ada perselisihan faham, tapi saya meneruskan perjuangan saya bersama rakan-rakan dalam BN.

“Dia ada tanya saya, tetapi saya memilih untuk berada dalam UMNO selamanya,” katanya ketika ditemui di Kompleks DUN di Kangar, lewat malam tadi.

Sebagai calon BN di DUN Tambun Tulang, Ismail menyatakan kesediaannya untuk menggalas tanggungjawab dan meneruskan perkhidmatan kepada rakyat sekiranya diberi mandat sekali lagi.

“Saya tidak ada cita-cita apa, saya hanya meneruskan kelangsungan perkhidmatan saya sebab sekarang pun saya rasa ada amanah yang saya bertanggungjawab, terutamanya pengundi-pengundi muda yang sedang belajar di kawasan saya yang mereka masih memerlukan sumbangan dan bimbingan.

“Saya memang meletakkan ini sebagai asas sebab pendidikan penting terutama bagi masyarakat petani. Hanya dengan pendidikan mereka dapat mengubah taraf sosial ekonomi keluarga dan ia akan kekal secara langsung,” katanya.

Loading...
Terkini