comscore
Tumpuan :
Politik

‘Tuduhan ke atas saya tidak adil’

Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mempertahankan tindakannya mengkritik kepemimpinan UMNO pada kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bertujuan meyakinkan pengundi terhadap parti itu.

Sehubungan itu bekas Ahli Parlimen Rembau itu menyifatkan tuduhan dibuat terhadapnya sehingga beliau dipecat daripada UMNO sebagai tidak adil.

Menurutnya beliau tidak mahu pengundi hilang harapan terhadap UMNO berikutan di kawasan bandar sokongan terhadap UMNO semakin merosot.

Katanya, kenyataannya pada kempen pilihan raya itu adalah satu mesej positif yang disampaikan bagi meraih sokongan pengundi dan mengembalikan kredibiliti UMNO.

“Saya tidak nampak bagaimana mesej positif seumpama itu bertujuan memahamkan orang ramai mengenai UMNO dan memulihkan keyakinan umum kepada kredibiliti parti dianggap satu yang negatif.

“Saya tidak merasakan tuduhan yang dikenakan adil sama sekali apabila saya cuba menyatakan UMNO dapat memberikan sesuatu yang lebih baik pada masa depan dan memberitahu saya sebagai generasi baharu parti bakal mengubah dan membuat reformasi kepada UMNO,” katanya dalam temubual ketika bersiar dalam rancangan The Breakfast Grille dikendalikan saluran radio BFM.

Semalam, Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, berkata Khairy dipecat atas tindakannya mendakwa ‘UMNO sesat’ ketika kempen PRU-15 di Sungai Buloh, yang memberi kesan langsung terhadap sokongan pengundi di seluruh negara kepada UMNO.

“Dia tahu dia mungkin boleh menang di (Parlimen) Sungai Buloh dengan strategi ini tetapi ia sedikit sebanyak mengorbankan calon UMNO yang bertanding di tempat lain,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini