comscore
Tumpuan :
Nasional

Tujuh ADUN sudah diterima masuk Gagasan Rakyat – Hajiji

FOTO: NSTP

KOTA KINABALU: Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan pihaknya sudah menerima kemasukan beberapa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO serta Parti Warisan (WARISAN) yang mengumumkan keluar parti, baru-baru ini.

Semua bekas ADUN berkenaan terdiri daripada empat ADUN UMNO iaitu Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk), Datuk Hamid Awang (Balung), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit) dan Datuk James Ratib (Sugut) selain tiga ADUN Warisan, Mohammad Mohamarin (Banggi), Chong Chen Bin (Tanjong Kapor) dan Norazlina Arif (Kunak).

“Semua mereka memang sudah diterima masuk ke dalam Gagasan Rakyat.

“Perkara itu merupakan hak individu untuk mereka menentukan pendirian dan masa depan politik masing-masing.

“Saya sangat mengalu-alukan penyertaan mereka kerana kita mahu memberi fokus kepada satu perpaduan yang jitu selain satu usaha bagi memberi khidmat terbaik kepada rakyat terutama di kawasan masing-masing,” katanya.

Hajiji berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Bicara Pemimpin Muda Bersama Ketua

Menteri sempena sambutan peringatan Hari Antidadah Tahun 2023 Peringkat Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Angin dan Presiden MBS Abqaree Fawwaz Abekan.

Terdahulu, empat ADUN UMNO Sabah, mengumumkan keluar parti berkuatkuasa serta-merta pada 21 Februari lalu.

Sejurus pengumuman itu, semua ADUN terbabit turut mengumumkan menyertai Gagasan Rakyat yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Dalam itu, turut mengumumkan menyertai Gagasan Rakyat adalah tiga bekas ADUN Warisan yang sudah mengumumkan keluar parti pada awal bulan lalu.

Loading...
Terkini