comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Sanusi angkat sumpah MB Kedah

 

 

ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah hari ini.

Muhammad Sanusi, 49, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, melafaz sumpah memegang jawatan itu di hadapan Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Balai Mengadap Besar, Istana Anak Bukit, di sini pada 10.15 pagi tadi.

Muhammad Sanusi dilantik semula ke jawatan itu selepas PN mendapat kemenangan besar iaitu 33 daripada 36 kerusi dewan undangan negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN), Sabtu lepas.

Muhammad Sanusi yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah mempertahankan kerusi DUN Jeneri yang disandangnya sebelum ini, selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim dengan majoriti 16,050 undi.

Dilahirkan pada 4 Ogos 1974, Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat pernah menjadi Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak antara 2008 hingga 2013.

Beliau mula menjadi calon dalam pilihan raya sewaktu bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-12 di kerusi DUN Belantek, namun tewas kepada calon BN, Datuk Mohd Tajudin Abdullah dengan majoriti 252 undi.

Pada PRU ke-14, beliau bertanding di DUN Jeneri dan berjaya menewaskan dua calon lain iaitu Mahadzir Abdul Hamid (BN) dan Mohd Nazri Abu Hassan (PKR) dengan majoriti 2,455 undi.

Muhammad Sanusi yang berkelulusan ijazah dari Universiti Sains Malaysia mendirikan rumah tangga bersama Tok Puan Seri Jusmalailani Jusoh dan dikurniakan lima anak. — BERNAMA

Loading...
Terkini