comscore
Tumpuan :
Santai

Al-Hilal kejutkan Flamengo untuk mara ke pentas final Piala Dunia Kelab FIFA

FOTO : REUTERS

Oleh: Fariz Zolkarnain

TANGIER: Al-Hilal muncul pasukan pertama dari Arab Saudi mara ke pentas final Piala Dunia Kelab FIFA selepas mengejutkan juara Amerika Selatan, Flamengo 3-2, awal pagi tadi.

Kejayaan itu turut menyaksikan Al-Hilal mengikut jejak langkah wakil Asia dari Jepun, Kashima Antlers yang layak ke perebutan juara pada 2016.

Al-Hilal terlebih dahulu menyingkap gol pembukaan seawal minit keempat menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Salem Al-Dawsari.

Kelebihan itu bagaimanapun dipadam Flamengo apabila Pedro menyamakan kedudukan, minit ke-20.

Aksi babak pertama berlanjutan sehingga ke masa kecederaan selepas pengadil perlawanan, Istvan Kovacs merujuk video bantuan pengadil (VAR) berikutan pergelutan di antara Luciano Vietto dan Gerson dalam kotak penalti.

Gerson dilayangkan kad kuning kedua dan Al-Hilal sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti.

Peluang kedua itu tidak dipersiakan Al-Dawsari untuk menggandakan jaringan sebelum tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, Al-Hilal tambah selesa apabila giliran Vietto meledak gol ketiga, minit ke-70.

Flamengo merapatkan kedudukan 2-3 menerusi penyudah Pedro pada penghujung permainan namun kebangkitan lewat yang cuba dilakukan wakil Brazil itu tidak kesampaian sebelum akur tewas di peringkat separuh akhir.

Al-Hilal akan merebut kejuaraan menentang Real Madrid atau Al Ahly SC yang akan turun dalam satu lagi aksi separuh akhir, awal pagi nanti.

Final dan penentuan tempat ketiga-keempat akan berlangsung di Rabat dan Tangier, 11 Februari ini.

Loading...
Terkini