comscore
Tumpuan :
Santai

Sanggup Habis Ribuan Ringgit Beli Barangan Antik

Pelbagai koleksi pinggang mangkuk sering dicari oleh pengumpul barangan antik. – FOTO: NSTP

TANJUNG MALIM: Barangan antik mempunyai nilai sentimental tersendiri dan bersifat subjektif yang sukar tafsirkan hingga ada individu tidak berkira berhabis ribuan ringgit ‘memburu’ pelbagai khazanah unik itu sebagai hobi.

Bagi peminat dan penjual barang antik, Noraimi Jamilus, 51, menganggap barang antik lebih bernilai tinggi apabila pembuatan dan keluaran barangan itu berusia puluhan dan ratusan tahun.

Katanya, nilai sesuatu barang antik juga agak sukar dinilai dan hanya peminat barang antik tegar sahaja mampu melihat sejauh mana nilai sebenar barangan itu sama ada dari segi harga atau estetika.

Menurutnya, dia sendiri mempunyai simpanan koleksi peribadi pinggan mangkuk bernilai lebih RM6,000 berikutan keunikan seni dan fungsinya yang tertentu menjadikan ia tahan lama.

“Barang lama atau antik menjadi rebutan pengumpul hingga ada yang sanggup menghabiskan ribuan ringgit demi mendapatkan barangan idaman walau di mana sahaja lokasinya.

“Pengumpul sanggup menghabiskan masa mencari barangan yang dilihat bernilai lebih tinggi dan memberi keuntungan pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui dekat sini.

Justeru, minat Noraimi terhadap barang antik mendorong dia mengumpul pelbagai koleksi set pinggan mangkuk dan barangan lain yang lazimnya digunakan oleh suri rumah.

Bukan calang-calang pinggan mangkuk yang dikumpul kerana sebahagian besarnya buatan daripada luar negara iaitu England, China, Perancis, Jepun dan Jerman termasuk tempatan yang berusia berpuluh tahun.

Noraimi berkata corak , warna, dan bersifat tahan lasak serta tahun pembuatan menjadikan set pinggan mangkuk berkenaan mempunyai nilai yang tersendiri terutama dalam kalangan pengumpul dan peminat barang antik.

“Set pinggan mangkuk ini bukan mudah di dapati di mana-mana kedai perkakasan dapur kerana biasanya dimiliki oleh orang individu atau orang perseorangan tertentu sahaja.

“Berdasarkan maklumat kawan atau pengumpul barang antik, saya akan pergi mendapatkan daripada pemiliknya namun kadangkala set pinggan mangkuk berkenaan tidak lengkap.

“Kadangkala pemiliknya tidak mahu menjual kerana barangan itu mungkin mempunyai kenangan dalam sejarah kehidupan atau ingin dijadikan koleksi sendiri,” katanya.

Menurutnya, bukan semua set pinggan mangkuk antik dijual kepada orang ramai dan ada disimpan sebagai koleksi keluarga atau peribadi.

Di samping itu, minat dia terhadap barangan antik kini diwarisi oleh anak perempuannya, Nurul Hidayah Jefri Zain 25, yang setiap hujung minggu akan meluangkan masa bersama dia dan suaminya, Jefri Zain Nadzri, 54, bagi menjual barang antik.

Nurul Hidayah berkata, perkarangan Stadium Shah Alam, Selangor adalah lokasi tetap mereka menjual, ada yang membeli pada harga RM800 untuk koleksi pinggan mangkuk.

Katanya, selain menjual paling menarik dapat berjumpa dengan pengumpul dan penjual barang antik yang lain untuk bertanya khabar serta bertukar-tukar koleksi.

“Sejak kecil lagi saya didedahkan dengan pelbagai barang antik dan mungkin sebab itu sehingga sekarang saya juga mengikut jejak langkah kedua ibu bapa.

“Bukan sahaja dapat belajar mengenali secara lebih dekat berkenaan nilai sesuatu barang antik, saya juga dapat belajar berkomunikasi dengan pelanggan terutama ketika bertukar pendapat dan ilmu dengan peminat barangan antik,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini