comscore
Tumpuan :
Sukan

2 pemain muda Perancis perkuat 2 skuad kebangsaan berbeza bagi aksi kelayakan

Pemain PSG, Warren Zaire-Emery ketika memanaskan badan sebelum aksi Liga Juara-Juara menentang AC Milan di Parc des Princes, Paris pada 25 Oktober lalu. FOTO: Reuters

PARIS: Pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG), Warren Zaire-Emery bakal menjadi pemain termuda Perancis dalam tempoh 112 tahun selepas pemain berusia 17 tahun itu dinamakan oleh Didier Deschamps ke dalam skuad bagi kelayakan Euro 2024.

Dia muncul pemain paling muda dalam pasukan kebangsaan Perancis sejak Felix Vial pada tahun 1911.

“Memandangkan apa yang dicapainya bersama PSG, dia mempunyai semua kualiti untuk berada di tahap paling tinggi, meskipun jika ada saingan di posisinya,” kata jurulatih itu pada satu sidang akhbar di Paris lewat malam tadi.

“Dia menjadi calon bagi Kejohanan Eropah pada Jun dan Julai 2024,” katanya.

“Pada usianya, dia sudah memperagakan potensi besar dan kematangan bagi seseorang yang baru berusia 17 tahun.”

“Ketiadaan Aurelien Tchouameni kerana kecederaan tidak semestinya menjejas kehadiran Warren Zaire-Emery,” kata Deschamps.

Tchouameni cedera ketika beraksi buat Real Madrid menentang Barcelona pada hujung bulan lalu.

N’Golo Kante, juara Piala Dunia 2018 yang kini beraksi dalam liga Arab Saudi, turut diketepikan sekalipun Deschamps berkata “ia tidak akan menutup pintu buatnya.”

“Saya tidak tahu apa situasinya pada Mei ini, apabila kami perlu membentuk skuad bagi Euro. Dia masih boleh dipilih,” katanya.

Perancis, yang menang semua enam aksi kelayakan mereka, berdepan Gibraltar pada 18 November ini sebelum bertandang ke Greece pada 21 November.

Pemain tengah Nice, Sofiane Diop (kanan) bersaing dengan pemain PSG, Achraf Hakimi pada aksi Ligue 1 Perancis di Parc des Princes, Paris pada September lalu. FOTO: Reuters

Sementara itu, Sofiane Diop, bekas pemain kebangsaan B-21 Perancis menerima panggilan pertama Maghribi bagi permulaan kempen kelayakan Piala Dunia 2026 bulan ini, menurut jurulatih Walid Regragui semalam.

Diop, 23, pemain tengah Nice dilahirkan di Perancis tetapi turut boleh beraksi buat Maghribi, yang layak ke separuh akhir Piala Dunia di Qatar dan baru-baru ini merekrut seorang lagi bekas pemain remaja antarabangsa Perancis, Amine Adli yang beraksi dengan Bayer Leverkusen.

“Dia (Diop) seorang pemain yang boleh memilih negara lain juga. Dia berhak untuk bersama kami,” kata Regragui kepada wartawan.

Maghribi dijadual melayan kunjungan Eritrea Khamis depan bagi aksi pembukaan kelayakan di sebalik laporan Eritrea mungkin menarik diri, dengan Regragui menyatakan mereka tidak menerima sebarang pengesahan daripada FIFA.

The Atlas Lions akan bertandang ke Tanzania pada 21 November bagi perlawanan kedua mereka. Mereka turut berdepan Niger, Congo dan Zambia pada peringkat kumpulan, dengan hanya juara layak secara automatik ke pusingan akhir di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada. – AGENSI

Loading...
Terkini