comscore
Tumpuan :
Sukan

ACC 2023: Azizulhasni kembali raih gelaran jaguh pecut Asia

FOTO: NSTP

NILAI: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang kembali memastikan gelaran jaguh pecut Asia miliknya selepas memenangi final acara pecut elit lelaki di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 yang berlangsung di Velodrom Nasional di sini malam ini.

Pelumba berusia 35 tahun itu yang merupakan jaguh enam kali acara pecut pada 2008, 2009, 2014, 2017, 2019 dan 2020 sebelum terlepas edisi tahun lepas kerana menjalani pembedahan jantung menewaskan pemenang pingat perak Piala Negara-Negara di Jakarta, Kaiya Ota dari Jepun 2-0 (9.924s, 9.828s) di dalam acara itu.

Sekali gus ia juga emas kesebelas dimenangi Azizulhasni di ACC.

FOTO: NSTP

Terdahulu di peringkat separuh akhir, Azizulhasni yang juga dikenali sebagai “The Pocket Rocketman” menewaskan juara bertahan Kento Yamasaki dari Jepun 2-0.

Selepas rehat sehari,Azizulhasni akan meneruskan pemburuan gelaran juara keirin sulungnya di Asia dalam tempoh lapan tahun selepas kali terakhir merangkul gelaran dalam acara kegemarannya itu pada edisi 2015 di Nakhon Ratchasima, Thailand.

Kemenangan esok akan menyaksikan beliau mengulangi rekod dua emas yang diraihnya dalam acara pecut dan keirin pada edisi 2008 di Nara, Jepun, selain menyumbang pingat perak dalam acara pecut berpasukan.

FOTO: NSTP

Beliau yang terharu dan menitiskan air mata kegembiraannya selepas perlumbaan itu berkata ia merupakan cabaran hebat buatnya untuk mengatasi halangan yang dihadapi di dalam dan luar trek untuk memenangi kejuaraan ini.

“Mengatasi dua pelumba Jepun dalam separuh akhir dan akhir hari ini, sememangnya satu cabaran hebat, terutamanya Kaya yang merupakan seorang pelumba pecut bertaraf dunia, katanya.

Sementara itu dalam final acara pecut elit wanita, juara bertahan Riyu Ohta dari Jepun mempertahankan mahkota kejuaraannya selepas mengatasi rakan senegara Mina Sato, 2-0. – BERNAMA

Loading...
Terkini