comscore
Tumpuan :
Sukan

AFC perkenal empat pertandingan kelab baharu, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) tawar hadiah 12 juta Dolar Amerika kepada juara

Jawatankuasa Eksekutif AFC lulus pertandingan baharu, turut saksikan peningkatan peruntukan wang tunai kepada semua 76 pasukan bertanding

KUALA LUMPUR: Era baharu saingan kelab bola sepak Asia bakal bermula selepas ini apabila penstrukturan semula dilakukan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Empat pertandingan tertinggi diperkenalkan menerusi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2), Liga Cabaran AFC (ACGL) dan Liga Juara-Juara Wanita (AWCL) yang akan mengambil tempat musim 2024/25.

ACLE bakal disertai 24 pasukan terbaik Asia menyaksikan Juara bakal menerima hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak 12 juta Dolar Amerika (RM55 juta), bererti peningkatan 4 juta Dolar Amerika daripada ganjaran yang dinikmati ketika ini.

Naib juara pula menerima 6 juta Dolar Amerika, juga pertambahan 2 juta Dolar Amerika yang diberikan daripada pertandingan tertinggi sekarang.

“Pertandingan kelab kami sudahpun antara yang terbaik dan paling menguntungkan dalam bola sepak benua, dan hari ini AFC memulakan era baharu dan bersejarah dengan inisiatif berpandangan ke hadapan ini dalam bola sepak kelab lelaki dan wanita.”

“AFC telah menggariskan cita-citanya untuk memastikan pasukan dan pemain kami terus bersinar melalui pertandingan bertaraf dunia dan sebahagian besar daripada cita-cita ini berpaksikan pada janji kami untuk melabur semula dalam pertandingan kami yang merupakan nadi pembangunan untuk semua ahli persatuan,” kata Presiden AFC Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa selepas mempengerusikan Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Eksekutif AFC secara maya.

Tiga pembaharuan ini menggantikan terus dua pertandingan tertinggi sedia ada Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC yang dipelopori 56 tahun dahulu.

Liga Juara-Juara Asia Wanita (AWCL) yang mahu dianjurkan menjadi langkah utama menyediakan platform pengenalan bakat-bakat pemain wanita terbaik Asia, sekaligus memperkukuh lagi mutu dan tahap pada masa akan datang.

Loading...
Terkini