comscore
Tumpuan :
Sukan

Agong, Raja Permaisuri santuni majlis pertemuan legenda, bekas atlet negara

KUALA LUMPUR: Tanggal 9 Disember menjadi satu lagi detik manis kepada wira dan wirawati sukan negara apabila majlis himpunan mereka dihadiri Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah.

‘Reunion’ khas legenda dan bekas atlet negara itu menghimpunkan seramai 177 orang di sebuah hotel di ibu negara petang ini.

Majlis dinamakan ‘Sports Flame’ itu meraikan jasa ikon sukan negara dari tahun 1960an hingga 1980an menerusi santapan minum petang.

Kumpulan bekas pemain hoki, bola sepak, sukan olahraga, badminton antara yang hadir termasuklah Datuk Santokh Singh, Datuk Seri Windsor Paul John, Reduan Abdullah, Bakri Ibni, Datuk James Selvaraj, Stephen Van Huizen, Wallace Tan, Josephine Marry dan G. Shanti.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan menyantuni semua yang hadir dari meja ke meja dan bergambar bersama sebelum menyanyikan beberapa buah lagu yang ditujukan khas kepada kumpulan bekas atlet negara.

Baginda yang bakal turun takhta awal Januari 2024 sememangnya berada dekat dengan arena sukan tanah air memandangkan banyak menjawat jawatan dalam persatuan sukan kebangsaan selain aktif bermain bola sepak, polo dan lain-lain lagi sebelum ini.

Majlis ‘Reunion Sport Flame’ ini diusahakan oleh sebuah portal tempatan dengan kerja sama beberapa bekas wartawan sukan .

Loading...
Terkini