comscore
Tumpuan :
Sukan

Aksi LS KL City-TFC dicemari insiden pergaduhan

Aksi pergaduhan selepas tamat perlawanan. – Tangkap layar dari Facebook Bola Sepak Terengganu

KUALA LUMPUR: Aksi Liga Super antara Kuala Lumpur (KL) City menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam tadi dicemari insiden pergaduhan pemain selepas tamat perlawanan.

Bagaimanapun insiden itu tidak menjadi lebih buruk apabila berjaya dileraikan pemain dan pegawai kedua-dua pasukan dengan pengendali KL City.

Tidak dapat dipastikan punca utama berlakunya pergaduhan itu, namun terdapat dakwaan insiden berkenaan dicetuskan pemain import TFC dari Croatia, Ivan Mamut.

Ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner pada sidang media selepas perlawanan mengakui berang dengan sikap yang ditunjukkan Mamut.

Pengendali berusia 56 tahun itu bagaimanapun menjelaskan beliau akan bercakap dengan pemainnya mengenai perkara itu selepas situasi ‘panas’ reda.

Pemain KL City, Romel Morales yang menjaringkan gol kedua dikatakan bergaduh dengan pemain TFC, Ivan Mamut. – Foto Facebook Kuala Lumpur City

“Saya sangat marah dengan dia (Ivan Mamut) sebab ketika berdepan JDT sebelum ini dia juga mendapat kad merah. Dia tidak boleh bersikap demikian terutama ketika perlawanan sudah tamat dan dia perlu lebih bijak.

“Saya belum bercakap dengan pemain itu kerana saya juga dalam keadaan ‘panas’, mungkin esok atau pada sesi latihan akan datang saya akan bercakap dengannya,” katanya.

Sementara itu, Romel Morales berkata, tiada isu besar mengenai pergaduhan itu dan menganggap ia lebih kepada perasaan kecewa kerana terlepas tiga mata berharga.

“Perkara itu berlaku mungkin disebabkan kami kehilangan tiga mata penting. Pada babak kedua kami lepaskan dua gol, itu kesilapan kami dan ia situasi dalam perlawanan,” katanya.

Keputusan seri 3-3 di Cheras menyaksikan KL City dan TFC mengumpul 24 mata keseluruhan dan masing-masing menghuni kedudukan ketujuh dan keenam liga.

Loading...
Terkini