comscore
Tumpuan :
Nasional

Insiden penghantar makanan – pengawal keselamatan: 5 individu dirakam keterangan

KUALA LUMPUR: Insiden pergaduhan antara penghantar makanan dan pengawal keselamatan di sebuah bangunan di ibu kota, kelmarin sudah diselesaikan dengan baik.

Menurut seorang wanita yang mendakwa isteri kepada pengawal keselamatan terbabit mendakwa, kedua-dua individu itu sudah bermaaf-maafan dan berdamai.

“Suami saya sudah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk memberi keterangan, turut hadir adalah wanita yang dipercayai pelanggan kepada penghantar makanan berkenaan.

“Mereka sudah berbaik dan berhasrat untuk menjalin silaturahim pada masa akan datang,” katanya dalam laman Facebook.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Nazron Abd Yusof berkata, setakat ini seramai lima individu sudah diambil keterangan.

“Apa yang berlaku di luar (berdamai) tiada kaitan dengan siasatan pihak polis. Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, polis menerima laporan berhubung kejadian pertengkaran penghantar makanan dan pengawal keselamatan di sebuah bangunan di ibu kota, seperti tular di media sosial, kelmarin.

Menerusi dua rakaman video berdurasi tiga minit 15 saat dan dua minit 15 saat menunjukkan berlaku perselisihan faham antara dua lelaki itu.

Berdasarkan hantaran pada video berkenaan, penghantar barangan itu dinafikan masuk ke dalam bangunan, tetapi penerima bertegas supaya penghantar masuk ke bangunan berkenaan.

Penghantar makanan dikatakan sebelum itu memarahi pengawal keselamatan warga asing menyebabkan dia memanggil rakan sekerjanya untuk mendapatkan bantuan sebelum tercetus pergaduhan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini