Oleh: Fariz Fikri Zolkarnain
SHAH ALAM: Pemain Selangor FC, Faisal Halim hari ini membuat kemunculan pertama di khalayak ramai dengan seribu satu perasaan.
Namun apa yang menarik perhatian, Faisal memulakan perbualannya dengan bertanyakan kesihatan semua pihak.
“Salam sejahtera semua. Apa khabar? Harap semua sihat belaka.
“Pertama kali saya ingin memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana dengan izin-NYA saya dapat bersama anda semua.
“Saya juga menjunjung kasih dengan jutaan setinggi-tinggi terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah,” katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Selangor FC, keluarga dan seluruh rakyat Malaysia.
Pada masa sama, Faisal yang ditemui pada sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC itu turut mengakui rindu untuk kembali bermain bola sepak.
“Sejujurnya saya amat rindukan bola sepak baik berlatih mahupun bermain. Bukan mudah untuk terlantar di rumah dengan sekadar menonton pasukan Selangor dan Malaysia bermain melalui televisyen.
“Kaki memang menggigil, hati memang meronta-ronta untuk bermain. Namun buat masa sekarang saya fokus untuk pemulihan sebelum saya boleh kembali menyertai pasukan seperti sebelum ini,” katanya.
Untuk rekod, Faisal menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat beli belah pada 5 Mei lalu.
Selepas melalui empat pembedahan, Faisal kemudian dibenarkan pulang pada 25 Mei sebelum ditempatkan di satu lokasi rahsia sehingga kini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Faisal makan sendiri seperti biasa, diet tinggi protein jadi keutamaan – Dr Hazwan
- Kes simbah asid Faisal Halim: Polis tahan lelaki warga tempatan bantu siasatan
- Keadaan lecur Faisal pada tahap empat – FAS
- ‘Solidariti buat Faisal Halim’ dilancar Selangor FC
- [VIDEO] Klip CCTV didakwa serangan asid terhadap Faisal Halim tular di media sosial
- Siasatan kes Faisal Halim merangkumi segala aspek – Ketua Polis Negara
- [VIDEO] Cap jari di lokasi Faisal Halim disimbah asid tiada dalam rekod JPN
- Proses pemulihan Faisal berjalan lancar