comscore
Tumpuan :
Sukan

AUG 2024: Kontinjen negara tutup kempen dengan 38 pingat emas

Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa mengibarkan bendera Majlis Sukan Universiti ASEAN (AUSC) sebagai simbolik Malaysia sebagai tuan rumah Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026. Foto: Sukan KPT

MALANG: Kontinjen negara menutup kempen Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 dengan memuaskan apabila membawa pulang 38 pingat emas selepas berentap selama 11 hari bermula 26 Jun lalu.

Jumlah 38 pingat itu mengatasi sasaran awal sebanyak 35 pingat emas yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meskipun pingat emas ke-35 hanya menjelma pada hari kedua terakhir saingan menerusi karate.

Mereka meraih pingat emas ke-36 juga menerusi karate semalam sebelum skuad memanah compound negara menutup hari terakhir acara dengan dua lagi tambahan emas.

Malaysia sepatutnya menambah satu lagi pingat emas dalam acara memanah compound berpasukan wanita namun pingat itu tidak dikira dalam jumlah pungutan pingat memandangkan hanya dua negara menyertainya.

Selepas 11 hari bertanding, Malaysia menamatkan kempen di Surabaya-Malang dengan 38 pingat emas, 45 pingat perak dan 60 gangsa untuk tempat ketiga secara keseluruhan.

Upacara penutup AUG 2024 berlangsung secara gilang-gemilang di Graha Cakrawala Universitas Negeri Malang (UM) dengan perarakan masuk atlet daripada semua 11 negara yang bertanding.

Atlet Malaysia yang berarak masuk masih mengekalkan identiti sama seperti upacara perasmian di Universitas Negeri Surabaya (UNESA) iaitu dengan mengenakan jaket berwarna oren dan hitam serta seluar trek berwarna hitam.

Upacara penutup disempurnakan Sekretaris Jenderal Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Riset dan Teknologi Indonesia, Suharti Sutar.

Pada majlis sama, bendera Majlis Sukan Universiti ASEAN (AUSC) turut diserahkan kepada Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa sebagai simbolik yang menandakan Malaysia sebagai tuan rumah AUG edisi 2026.

Sebagai rekod, temasya di Ubon Ratchathani dua tahun lalu menyaksikan kontinjen negara membawa pulang 49 pingat emas, 83 pingat perak dan 50 pingat gangsa untuk berada di tempat kedua keseluruhan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini