comscore
Tumpuan :
Sukan

AUG 2024: Skuad badminton wanita gagal pertahan pingat emas

SURABAYA: Hasrat skuad badminton wanita negara mempertahankan kejuaraan di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 tidak kesampaian apabila tumbang kepada Thailand 0-3 pada aksi final acara berpasukan di Malang di sini hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Graha Cakrawala, Universitas Malang itu menyaksikan Yi Xing Un yang turun pada perlawanan pertama gagal meraih mata selepas ditewaskan Pornpicha Choeikeewong 9-21, 13-21.

Malaysia terus kecewa pada aksi kedua apabila beregu wanita negara Xin Jie Lee-Valeree Zi Xuan Siow diketepikan Pichamon Phatcharaphisutsin-Atitaya Povanon 19-21, 24-22, 18-21, sebelum N. Saranya yang menjadi sandaran terakhir untuk menyumbang mata buat Malaysia tunduk kepada Thitiphon Klomyong 6-21, 13-21.

Keputusan itu menyaksikan pasukan wanita negara akur dengan pingat perak sekali gus gagal mengulangi kejayaan membawa pulang pingat emas pada temasya AUG 2022 di Ubon Ratchathani, Thailand.

Ketua Jurulatih skuad negara Datuk Rashid Sidek berkata meskipun terlepas peluang mempertahankan emas, anak buah kendaliannya itu sudah menepati sasaran untuk ke final pada temasya sukan itu.

“Memang agak sukar untuk menang pingat emas kerana kita tahu pasukan Thailand ada kekuatan yang lebih daripada kita, pengalaman dan standard mereka juga lebih tinggi. Kita hanya boleh dapat mata daripada beregu wanita, manakala untuk perseorangan wanita memang agak jauh beza.

“Beregu kita boleh mendapat mata sebelum ini tetapi hari ini kita nampak Thailand menunjukkan permainan yang lebih mantap dan kurang melakukan kesilapan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini