comscore
Tumpuan :
Sukan

Azeem sasar kedudukan ranking dunia untuk ke Paris

Jaguh pecut negara Azeem ketika sesi latihan Terbuka Pahang di Kuantan. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Ketika misi untuk mencapai had kelayakan 10 saat (s) bagi mengesahkan tiket secara automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024 tampak sukar, jaguh pecut negara Muhammad Azeem Fahmi kini mengintai peluang menggunakan laluan kedua untuk membuat penampilan sulung di temasya terbesar dunia itu iaitu menerusi kedudukan ranking dunia.

Pelari berusia 20 tahun yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu, berkata dia wajib menjuarai saingan Terbuka Malaysia di Kuantan, Pahang, hujung minggu ini selain mencatat masa bawah 10.25 saat (s) untuk melonjakkan ranking yang ketika ini di tempat ke-64.

Azeem yang tiba di tanah air, semalam, berkata pihak Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sudah membuat congakan mengenai peluangnya untuk layak menerusi kedudukan ranking.

“Perancangan ketika ini untuk ke Paris adalah melalui dua cara, ranking dunia ataupun had masa kelayakan.

“Jadi bagi saya, jurulatih dan seluruh pasukan MSN sudah membuat perkiraan mengenai nasib saya di Terbuka Malaysia hujung minggu ini.

“Saya hendaklah memenangi perlumbaan 100m dengan catatan sekurang-kurangnya 10.25s,” kata Azeem, mengulas mengenai peluangnya ke temasya di Paris.

Jelasnya, jika menang dan mencatat masa 10.25s atau lebih pantas di Kuantan, kedudukan ranking dunianya akan melonjak ke kedudukan ke-45, sekali gus berada dalam kelompok 56 terbaik.

Berdasarkan kedudukan semasa, ranking kelayakan ke Paris bagi acara 100m lelaki menyaksikan, Azeem kini di tangga ke-64.

Pelari berasal dari Perak itu mengakui, dia akan menempuh musim panas yang sibuk dengan perancangan.

“Minggu ini saya akan berlumba di Kuantan, Pahang, minggu hadapan pula akan ke Terbuka Kazakhstan sebelum menyertai kontinjen Universiti Malaysia ke Sukan Universiti Asean (AUG) di Surabaya, Indonesia.

“Kita tak nak begitu selesa jika berjaya di Terbuka Malaysia. KOM dan MSN berasakan lebih elok untuk saya ke Kazakhstan untuk memungut mata tambahan.

“Jika boleh tingkatkan catatan masa, ranking dunia saya akan naik dan lebih selamat untuk saya layak,” jelas Azeem.

Minggu lalu, Azeem melakukan larian pantas ketika membantu kuartet 4x100m Universiti Auburn merakam catatan 38.03s, iaitu masa kelima terpantas acara dunia tahun ini, di belakang Kanada di kedudukan keempat (37.89s), Itali di kedudukan ketiga (37.82s), Gainesville Elite (37.67s) dan kuartet Amerika Syarikat (37.40s) di kedudukan pertama.

Untuk rekod, tiga rakan sepelatih Azeem di Universiti Auburn sudah layak ke Paris dan Azeem akan menyertai tiga pelari terbabit menjalani latihan pusat di Eropah, selepas aksi di AUG.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini