comscore
Tumpuan :
Sukan

BADMINTON: Peluang Malaysia bergelar juara Asia beregu lelaki selepas 15 tahun

Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin

DUBAI: Arena badminton tanah air lega malam ini apabila Malaysia mempunyai wakil di perlawanan akhir Kejuaraan Asia 2023 menerusi acara beregu lelaki.

Dalam perlawanan separuh akhir di Dubai sebentar tadi, Ong Yew Sin/ Teo Ee Yi menampilkan perwatakan kental diiringi permainan bertenaga ketika menewaskan Takuro Hoki/ Yugo Kobayashi.

Beregu profesional itu berjaya menemui rentak dari awal permainan membolehkan mereka melenyapkan cabaran lawan untuk memenangi set pertama 21-16.

Tetapi disebalik keyakinan tinggi serta kemahiran baik dimiliki Yew Sin/ Ee Yi, beregu Jepun itu juga tidak mengalah dengan menampilkan kebangkitan berbeza.

Pemain negara itu mengundang rasa cemas beberapa kali di penghujung permainan gara-gara melakukan kesilapan yang membenarkan Hoki/ Kobayashi hampir memenangi set kedua.

Corak permainan menghiburkan yang disajikan serta keazaman tinggi disebalik luka kecil dialami Ee Yi akhirnya berbalas apabila kedua-duanya mencapai mata akhir terlebih dahulu seterusnya menokhtahkan cabaran Jepun menerusi catatan 26-24.

Kejayaan dalam tempoh 50 minit itu memastikan Malaysia kembali ke pentas akhir beregu lelaki selepas melakukannya tahun lalu dan akan bertemu sama ada Satwiksairaj Rankireddy/ Chirag Shetty dari India atau wakil Taiwan Lee Yang/ Wang Chi-Lin esok.

Kali terakhir pemain negara ditabal juara Asia ialah pada tahun 2007 menerusi Choong Tan Fook/ Lee Wan Wah yang memenangi pertemuan sesama Malaysia iaitu Koo Kien Keat/ Tan Boon Heong ketika diadakan di Johor Bahru.

Aaron Chia/ Soh Wooi Yik tumpas kepada Pramudya Kusumawardana/ Yeremia Rambitan dari Indonesia di perlawanan akhir 2022 di Manila, Filipina sekaligus terpaksa akur dengan gelaran naib juara.

Loading...
Terkini